Tertiris - Apple Watch 3 Mungkin Hadir Dengan Fungsi Ukur Kadar Pernafasan

Jam tangan pintar semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna masa kini.

Tidak terhad kepada melihat waktu serta memaparkan notifikasi dari telefon pintar, pelbagai fungsi yang berkaitan dengan kesihatan turut melengkapkan peranti itu.

Apple merupakan salah satu pengeluar jam tangan pintar melalui siri Apple Watch.

Apple Watch 2 sudah berada di pasaran sejak September 2016 yang lalu. Ia mempunyai ciri yang menarik minat pengguna yang gemar bersukan dan beriadah untuk menggunakannya.

Antara ciri sukan dan kesihatan yang terdapat pada Apple Watch 2 adalah:

  • GPS terbina - jogging tanpa perlu membawa iPhone

  • Sensor kadar degupan jantung - ukur degupan jantung

  • Kalis air pada kedalaman sehingga 50 meter

  • Aplikasi yang merekod aktiviti riadah


Tetapi kali ini, berdasarkan imej yang tertiris dari laman Patently Apple, syarikat dari Amerika Syarikat itu mungkin bercadang mahu menambah lagi ciri ke dalam jam tangan pintar untuk model yang seterusnya.



Apple memanggil sistem itu sebagai "Mengukur kadar pernafasan dengan Multi-Band yang sesuai".

Seperti paten-paten yang lain, rajah diatas ini agak teknikal sedikit untuk difahami.

Secara dasarnya sistem ini akan mendapatkan isyarat photoplethysmogram (PPG) daripada oximeter nadi, menggunakan pemancar cahaya dan sensor cahaya untuk mengukur perfusi darah ke kulit seorang pengguna.

Proses mengukur pernafasan mungkin akan terganggu dengan pergerakan badan, oleh itu Apple dilihat meletakkan dua sensor cahaya bagi menyelesaikan masalah gangguan.



Ura-ura lain pula mengatakan fungsi pengesan waktu tidur dan juga pemantau glukosa bakal tampil dalam model jam tangan pintar Apple.

Sumber: Patently Apple via Tech Radar