Terlampau Banyak Pepijat Pada iOS 13 Memaksa Apple Merombak Proses Bagaimana Kemaskini iOS Dilepaskan

Apple telah melepaskan 8 kemaskini untuk iOS 13 sahaja dalam tempoh 2 bulan untuk membaikpulih berbagai-bagai masalah yang dihadapi untuk pengguna mereka. Disebabkan masalah kestabilan perisian iOS 13 yang tidak konsisten, Apple telah mengadakan mesyuarat dalaman untuk bahagian pembangunan perisian mereka diketuai oleh Craig Federighi, ketua pembangunan iOS, untuk berbincang mengenai penyelesaian masalah tersebut.

Mengikut laporan Bloomberg, Apple mengambil keputusan untuk melaksanakan strategi dan pendekatan baharu untuk pembangunan iOS mereka. Strategi tersebut akan membuatkan Apple mengguna pakai pendekatan "flags", yang menjadikan penguji perisian boleh memilih untuk menggunakan atau tidak ciri dan fungsi yang tidak stabil supaya ia tidak mengganggu kestabilan keseluruhan sistem perisian. Pendekatan "flags" ini adalah teknik kebiasaan yang digunakan oleh syarikat teknologi lain seperti Google serta Microsoft.

Pendekatan ini telah digunapakai untuk pembangunan perisian iOS 14 yang sedang dibangunkan untuk pelepasan tahun 2020 nanti. Apple juga dikatakan menunda beberapa ciri iOS 14 kepada tahun 2021 untuk memberikan perhatian terhadap kestabilan dan prestasi perisian terlebih dahulu. Pendekatan baharu ini juga akan dilaksanakan dalam kesemua perisian Apple termasuklah iPadOS, watchOS, macOS, dan juga tvOS.

Buat masa ini, Apple sedang menguji iOS versi 13.3 untuk pelepasan orang awam.

Sumber: Bloomberg