Fave kini telah menjalankan kerjasama strategik bersama Payment Network Malaysia (PayNet) dalam menyediakan satu platform yang digelar FaveBiz sebagai pemeroleh saudagar bukan bank pertama yang akan menawarkan DuitNow QR.
Fave dan PayNet menyedari pertumbuhan penggunaan telefon pintar yang semakin meningkat di Malaysia yang memberi pengguna lebih banyak sebab untuk menggunakan kod QR bagi pembayaran tanpa memerlukan terminal Point-of-Sale (POS).
Selain itu, tumpuan Fave adalah untuk memperkuatkan peniaga melalui kerjasama berterusan, perluasan perkhidmatan baru, serta usaha yang lebih mendalam dalam transaksi tanpa tunai. Jadi, dengan usaha sama ini Fave akan membantu para peniaga di Malaysia untuk mengguna pakai dan menerima bayaran melalui DuitNow QR.
“Dengan DuitNow QR, peniaga hanya perlu mendaftar dan para pelanggan dari semua bank yang menyertai dapat membuat pembayaran melaluinya dengan menggunakan aplikasi masing-masing,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet dalam satu kenyataannya di Bernama.
Bermula awal tahun 2020 yang akan datang, Fave mensasarkan 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME) akan mengguna pakai pembayaran tanpa tunai ini. Melalui penyatuan pembayaran digital dalam satu platform, para peniaga dapat memperolehi keuntungan baru dalam tahap pemahaman yang lebih mendalam.
Tambahan lagi, kerjasama antara Fave dan PayNet ini secara tidak langsungnya memangkin penggunaan pembayaran digital yang lebih tinggi di samping mengurangkan rintangan operasi untuk menguruskan pelbagai kod QR.
Fave
Sebuah Platform Peniaga Digital yang akan memperkasakan peniaga di luar talian untuk memajukan dan berhubung dengan pelanggan mereka. Menjalankan misi untuk mempercepatkan peralihan dunia luar talian kepada ekonomi digital dengan mengetengahkan pertumbuhan peniaga.
Fave menawarkan peniaga lebih banyak nilai tambah dan pendedahan melalui pemasaran, data pembiayaan dan operasi. Fave kini beroperasi di 35 bandar di seluruh Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Sumber: Bernama