Tencent Dilaporkan Telah Membeli iflix

Bagi anda yang gemar menonton kandungan video, iflix mungkin salah satu platform pilihan. Lebih tertumpu kepada penyediaan kandungan dari Asia Tenggara, ia dilihat masih belum mampu menandingi Netflix.

Sebelum ini, iflix dikaitkan dengan masalah kewangan sejak beberapa tahun sudah dan kini ia dilaporkan sudah diambil alih oleh Tencent. Menuruti laporan Lowyat.net, aplikasi itu telah disenaraikan dibawah syarikat Ren Feng Media Tech Inc., dimana syarikat induknya adalah Tencent. Perkara itu dikesan terlihat pada penyenaraian aplikasi di Google Play Store dan App Store.

Laporan dari Variety pula menyatakan Tencent sudah mengesahkan kepada mereka tentang pengambil alihan tersebut. Ia dikatakan selari dengan strategi syarikat itu yang mahu meluaskan lagi penawaran penstriman mereka serta menyediakan kandungan yang berkualiti tinggi.

Namun terdapat perkhabaran, jenama iflix akan digunakan untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 ke 12 bulan. Ini mungkin isyarat ia bakal dijenamakan semula pada masa hadapan. Ketika ini, Tencent dan iflix masing-masing belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini.

Sumber: Lowyat.net dan Variety