Tempahan Mac Pro Dan Apple Pro Display XDR Akan Dibuka Dalam Bulan Disember Nanti

Komputer meja paling berkuasa yang dipadankan dengan paparan terbaik khusus untuk pengguna profesional.


Selain mengumumkan kehadiran model terbaru Macbook Pro 16 inci, Apple juga turut mengumumkan tempahan Mac Pro dan skrin Pro Display XDR akan dibuka dalam bulan Disember nanti.

Mac Pro dan skrin Pro Display XDR telah pun diperkenalkan pada bulan Jun lalu di WWDC 2019.

Mac Pro merupakan komputer Apple paling mahal yang bakal ditawarkan kepada pembeli di mana ia berharga dari USD5,999.00 bagi spesifikasi cip pemprosesan Intel Xeon W 8-core, RAM berkapasiti 32GB memori, kad grafik Radeon Pro 580X serta storan SSD berkapasiti 256GB.

Walaubagaimanapun, tidak sepertimana model Mac Pro sebelum ini, Mac Pro 2019 akan disertakan bersama papan kekunci Magic Keyboard serta Magic Mouse 2. Juga kabel USB-C to Lightning sepanjang 1m.

Sementara skrin Pro Display XDR yang kontroversi berharga USD4,999.00. Ia kontroversi kerana Apple tidak menyertakan sekali bersama pendirinya. Sebaliknya pengguna terpaksa membeli pendiri bagi skrin tersebut yang dikenali Pro Stand berharga USD999 yang dijual secara berasingan.