Teleskop suria paling canggih di dunia berjaya merakam permukaan Matahari dengan resolusi yang cukup tinggi sehingga membolehkan saintis menemui satu fenomena yang selama ini hanya diramalkan menerusi teori.
Penemuan ini membuka ruang baharu untuk memahami bagaimana tenaga magnet terkumpul dan bergerak pada Matahari, sekali gus membantu menjelaskan bagaimana letupan suria serta pelbagai aktiviti suria lain tercetus.

Di sebalik penemuan ini ialah NSF Daniel K. Inouye Solar Telescope, teleskop suria terbesar di dunia yang terletak di Maui, Hawaii. Melalui gabungan data pemerhatian daripada teleskop itu dan simulasi komputer, penyelidik daripada National Solar Observatory (NSO), NSF NCAR High Altitude Observatory (HAO) dan Max Planck Institute for Solar System Research (MPS) berjaya mengenal pasti fenomena dikenali sebagai Kelvin-Helmholtz Instability (KHI) pada fotosfera, iaitu lapisan permukaan Matahari yang boleh dilihat.

Hasil kajian turut diterbitkan dalam jurnal Nature.
Fenomena yang selama ini hanya diramal
Dikenali sebagai Kelvin-Helmholtz Instability (KHI), fenomena ini berlaku apabila dua aliran plasma bergerak pada kelajuan berbeza sehingga menghasilkan pusaran kecil yang menyerupai ombak atau pusaran air.
Fenomena ini telah lama diramalkan oleh teori fizik dan diperhatikan dalam atmosfera Bumi, lautan serta atmosfera planet gergasi seperti Musytari (Jupiter) dan Zuhal (Saturn). Namun, ini merupakan kali pertama kewujudannya disahkan secara jelas pada fotosfera Matahari.
Bagi mengesahkan penemuan tersebut, penyelidik membandingkan imej beresolusi tinggi daripada Teleskop Inouye dengan simulasi komputer. Kedua-duanya memaparkan corak pusaran yang hampir sama, termasuk jarak purata antara pusaran sekitar 50 hingga 65 kilometer. Kesepadanan itu mengukuhkan kesimpulan bahawa pusaran yang diperhatikan sememangnya terhasil daripada KHI.
Berpotensi jelaskan bagaimana aktiviti suria tercetus
Menurut penyelidik, pusaran-pusaran kecil yang ditemui mungkin memainkan peranan penting dalam membantu tenaga magnet terkumpul dan bergerak pada Matahari. Ia dipercayai boleh menjadi mekanisme yang menyebabkan garisan medan magnet sentiasa berpintal, iaitu proses yang dikenali sebagai flux braiding.

Apabila garisan medan magnet semakin berpintal, tenaga akan terkumpul sebelum dilepaskan melalui proses magnetic reconnection, iaitu apabila garisan medan magnet bersilang dan tersusun semula.
Pelepasan tenaga ini dipercayai menjadi punca kepada fenomena seperti solar flare dan coronal mass ejection (CME), iaitu antara penyumbang utama kepada cuaca angkasa yang boleh menjejaskan satelit, sistem komunikasi, navigasi GPS dan grid bekalan elektrik di Bumi.
Mungkin bantu selesaikan misteri korona Matahari
Selain menjelaskan bagaimana tenaga magnet terbentuk, penemuan ini juga berpotensi membantu saintis memahami satu persoalan yang telah lama menjadi misteri dalam fizik suria, iaitu mengapa korona, lapisan atmosfera paling luar Matahari, mempunyai suhu sekita sejuta darjah Kelvin. Berdasarkan dapatan kajian, Kelvin-Helmholtz Instability berkemungkinan menjadi antara mekanisme yang membantu memindahkan tenaga ke korona, dan menyumbang kepada proses pemanasannya.
Kajian itu turut menunjukkan KHI membantu mencampurkan plasma bermagnet dan tidak bermagnet, serta mempercepatkan penyebaran medan magnet di atmosfera Matahari.
Menurut penyelidik, proses ini penting kerana ia dapat membantu menjelaskan bagaimana aktiviti magnetik berubah dari semasa ke semasa, bukan sahaja pada Matahari tetapi juga pada bintang-bintang lain.
The most powerful solar telescope just opened a new window to discovery about the sun.️☀️
Using the NSF Daniel K. Inouye Solar Telescope, scientists found Kelvin-Helmholtz instability, tiny, whirlpool-like patterns on the sun's surface.https://t.co/0V1qENcUR9
📸:… pic.twitter.com/agp8V3ayeR
— U.S. National Science Foundation (@NSF) August 6, 2026
Selepas kejayaan ini, penyelidik akan menggunakan sistem analisis automatik bersama data beresolusi tinggi daripada Daniel K. Inouye Solar Telescope bagi mengenal pasti lebih banyak pusaran Kelvin-Helmholtz Instability (KHI). Melalui pendekatan itu, mereka berharap dapat mengukur dengan lebih tepat jumlah tenaga yang dipindahkan ke korona serta sejauh mana fenomena ini mempengaruhi penyebaran medan magnet di atmosfera Matahari.
Dalam jangka panjang, penemuan ini dijangka meningkatkan pemahaman saintis terhadap fizik asas Matahari dan bintang-bintang lain.
Menurut penyelidik, memahami proses kecil yang berlaku pada permukaan Matahari penting untuk menjelaskan bagaimana cuaca angkasa terbentuk. Cuaca angkasa yang kuat boleh berkembang menjadi ribut suria yang berpotensi mengganggu satelit, sistem komunikasi, navigasi GPS dan grid bekalan elektrik di Bumi.
{suggest}


