Telefon Xiaomi Terjual Sebanyak 1 Juta Unit Dalam Masa 2 Hari Di India

India merupakan salah satu pasaran terbesar telefon pintar di dunia dan tidak hairanlah jika kebanyakkan pengeluar telefon memberi tumpuan kepada negara itu. Salah satu pengeluar adalah Xiaomi dimana mereka pertama kali menembusi pasaran India pada Julai 2014 dengan memperkenalkan model Mi 3.

Boleh dikatakan permintaan pembeli di India terhadap model Xiaomi amat tinggi dan contoh terbaru adalah dengan kejayaan telefon pintar jenama tersebut terjual sebanyak 1 juta unit dalam masa hanya 48 jam sahaja.

Dua platform e-dagang, Flipkart dan Amazon India telah mengadakan promosi untuk beberapa jenis barangan termasuklah telefon pintar. Menerusi promosi itu, Xiaomi India telah mengesahkan sejumlah 1 juta unit telefon pintar dari beberapa model berjaya dijual dalam tempoh 2 hari sahaja.

Difahamkan Redmi Note 4, Redmi 4 dan Redmi 4A antara model yang mencatatkan pembelian tertinggi. Antara produk Xiaomi lain yang turut ditawarkan pada promosi berkenaan adalah, Mi Air Purifier 2, Mi Routers, Mi Power Banks dan fon telinga.

Sumber: Xiaomi