Telefon Tanpa Port Pengecasan Pertama Di Dunia Mungkin Sedang Dibangunkan

Jika tahun lepas menjadi tahun di mana kebanyakan pengeluar mula mengeluarkan peranti tanpa bezel dan tanpa bicu audio, tahun ini mungkin kita akan melihat telefon tanpa port pengecasan pula akan dilancarkan.

Ura-ura ini timbul selepas laman Phone Arena telah mengesan dua syarikat China, Meizu dan Vivo memberi gambaran bahawa peranti dengan ciri tersebut sedang dibangunkan mereka.

Meizu telah mengeluarkan poster acah bagi peranti mereka dengan menggelapkan sebahagian daripada ayat dalam poster berkenaan.

Kapsyen: Phone Arena


Selepas pihak Phone Arena menerangkan imej tersebut, ternyata perkataan yang digelapkan ialah "holeless phone" atau fon tanpa lubang.

Vivo Apex 2019 pula dikatakan bakal muncul sebagai peranti tanpa lubang pertama keluaran Vivo. Ia berdasarkan satu video yang tertiris atas talian sebelum ini.

https://youtu.be/WqexHcOcU-o

Langkah membawa keluar port pengecasan ini dilihat tidak akan diterima baik oleh pengguna mengambil kira bagaimana respon mereka pada peranti tanpa bicu audio sebelum ini.

Bagaimanapun, sekiranya pembekal bersedia membekalkan alat pengecasan tanpa wayar pada kotak belian, ia mungkin akan sedikit melegakan pengguna.

Selain itu, berita ini juga membayangkan pengeluar berkemungkinan akan mula membangunkan pengecasan tanpa wayar yang lebih pantas pada masa akan datang.

Kongsikan kepada kami pandangan anda mengenai telefon tanpa lubang di ruangan komen.

 

Sumber: Phone Arena