Telefon Pintar Lipat Samsung Akan Guna Nama Galaxy Bloom

Setelah berjaya melancarkan telefon pintar lipat pertama, Galaxy Fold, Samsung kini sedang bersiap-siap untuk kehadiran generasi kedua.

Dalam siri khabar angin sebelum ini, peranti boleh lipat generasi kedua itu dikenali sebagai Galaxy Fold 2. Namun, Samsung mungkin merasakan ia lebih sesuai dipanggil sebagai Galaxy Bloom. Informasi ini adalah berdasarkan imej yang tersebar, didakwa dirakam sewaktu mesyuarat tertutup antara Samsung dan rakan kongsi telekomunikasi sekitar acara CES 2020.



Tidak dapat dipastikan kenapa nama tersebut dipilih tetapi difahamkan peranti itu diinspirasikan daripada alat solek Lancome.



Selain daripada itu, sebuah lagi peranti flagship yang bakal muncul adalah Galaxy S11. Seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, nama S11 bakal digantikan kepada Galaxy S20. Perubahan nama tersebut dikatakan akan berlaku dan akan datang kita bakal melihat peranti Galaxy S20, Galaxy S20 Plus serta Galaxy S20 Ultra.

Dari segi spesifikasi, ura-ura sebelum ini menyatakan kedua-dua model Galaxy S dan lipat itu akan hadir dengan kamera 108MP. Menariknya juga ciri rakaman 8K turut disertakan pada barisan peranti-peranti Samsung ini.

Untuk butiran selebihnya kita perlu menunggu pengumuman rasmi dari pengeluar sendiri. Kedua-dua model ini dijangka membuat kemunculan pada acara Samsung Unpacked pada 11 Februari depan.