Telefon Pintar Huawei Seterusnya Dari Jenis Boleh Lipat Dan Berkebolehan 5G

Pertarungan seterusnya di medan peperangan telefon pintar sedang menuju kemuncak mengenai siapakah yang dulu akan mengeluarkan telefon pintar yang boleh dilipat skrinnya. Samsung merupakan OEM pertama yang bercakap mengenainya diikuti oleh Huawei seterusnya LG.

Samsung meletakkan tarikh akhir tahun 2018 sebagai penanda kemunculan peranti yang dikhabarkan itu tetapi tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk tahun 2018 berakhir, memadamkan sebarang tanda-tanda peranti tersebut akan muncul pada tahun ini.

Sumber yang rapat dengan Huawei pula mendakwa yang gergasi China itu tidak akan membiarkan Samsung untuk menjadi OEM pertama untuk menjadi yang pertama dalam mengeluarkan telefon pintar skrin boleh dilipat.



Menurut CEO Huawei, Richard Yu dalam satu sidang media semasa pelancaran Huawei Mate 20 berkata yang mereka memang sedang membangunkan peranti telefon pintar dengan skrin yang boleh dilipat serta berkemampuan menggunakan rangkaian 5G.

Walau bagaimanapun, Yu berkata peranti tersebut belum boleh dikomersialkan lagi dan memerlukan lebih masa sebelum mereka boleh bercakap mengenai pelancarannya. Dia juga sebelum ini mendakwa peranti sebegitu boleh menggantikan PC.

Sumber