Telefon Pintar Baru Huawei Ini Lengkap Dengan Aplikasi Google

Umum mengetahui yang mana peranti-peranti terbaru keluaran daripada Huawei tidak lagi didatangkan dengan aplikasi Google didalamnya. Ia adalah ekoran daripada sekatan yang dilaksanakan kerajaan AS terhadap pengeluar China tersebut sejak tahun lalu.

Lanjutan daripada isu berkenaan, model terakhir yang diumumkan secara rasmi mengandungi aplikasi Google adalah siri P30 Pro dengan siri-siri lain sudah tidak lagi sedia terpasang dengan GMS.

Namun, desas-desus terbaru memperlihatkan ada sebuah telefon pintar baru akan dilancarkan dan ia dikenali sebagai Huawei P30 Pro New Edition. Ia dikesan tersenarai pada halaman Huawei Jerman awal bulan ini dimana pra-tempah peranti bakal dimulakan pada hujung bulan ini dan penghantaran pada sekitar 1 Jun.



Rekaannya sama seperti model sebelum tetapi mempunyai pilihan warna seperti P40 Pro. Peranti ini turut didatangkan dengan cip pemproses Kirin 980, RAM 8GB bersama storan 256GB.

Bahagian paparannya pula dilengkapi dengan skrin 6.57 inci OLED FHD+ disertai takuk umpama titisan air. Kelengkapan kamera pula terdiri daripada 40MP kamera utama, 20MP ultra lebar, 8MP telefoto. Sementar itu rakaman hadapan digalas oleh kamera 32MP.

Bakal dikuasakan bateri 4200mAh dengan pengecasan SuperCharge, P30 Pro New Edition akan dijual pada harga €749 di Jerman, sekitar ~RM3518 mengikut tukaran matawang asing semasa.

Mungkin ada yang keliru bagaimana Huawei boleh mengeluarkan sebuah peranti baharu lengkap dengan aplikasi Google.

Ini kerana pengesahan untuk model sedia ada masih sah, jadinya pengeluar boleh mengubah perisian yang sudah disahkan Google pada model-model berkenaan. Ia ibarat penjenamaan semula dengan beberapa spesifikasi berlainan seperti kapasiti RAM, storan, kamera dan warna tetapi tidak pada cip pemproses.

Sumber: Huawei Jerman via GizChina