Telefon Modular Fairphone 3 Ditamatkan Pengeluarannya

Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar jenama telefon pintar ini keluaran dari sebuah syarikat yang berpangkalan di Belanda. Tetapi hanya selepas 2 tahun ia diperkenalkan, Fairphone 3 telah ditamatkan pengeluarannya.

Ia diumumkan oleh CEO Fairphone seminggu yang lalu.

Fairphone 3 diperkenalkan pada Ogos 2019 dahulu. Ia merupakan sebuah telefon pintar modular yang dibangunkan dengan tujuan untuk memudahkan peranti itu dibaik pulih dan dinaik taraf perkakasannya.

Sekaligus memelihara alam sekitar dari pembuangan peralatan elektronik.

Pengeluarnya pernah mendakwa Fairphone 3 sebagai peranti pintar pertama yang mengguna pakai emas yang telah dikitar semula dan dijadikan sebagai sebuah produk.

Fairphone 3 juga dihasilkan daripada barangan terbuang lain daripada pelbagai produk yang dikitar semula.



Fairphone 3 menjalankan sistem Android 9, dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 632, 4GB RAM, storan terbina 64GB, skrin FHD+ bersaiz 5.65 inci serta bateri Li-ion berkapasiti 3000mAh yang menyokong teknologi pengecasan pantas 3.0.

Walaupun telefon pintar tersebut ditamatkan penjualannya, tetapi pihak Fairphone menyatakan bahawa mereka akan terus memberikan sokongan kemas kini pada peranti tersebut untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Malah mereka juga merancang untuk menaik taraf sistem Android peranti tersebut kepada Android 11 pada tahun 2022 nanti.

Selain itu penggunanya juga masih boleh menaik taraf modul kamera serta mendapatkan alat ganti perkakasan lain pada peranti tersebut.

Untuk pengetahuan anda, salah satu model telefon pintar keluaran Fairphone iaitu Fairphone 3+ pernah diiktiraf sebagai salah satu Inovasi Terbaik Tahun 2020 oleh Majalah Time bagi kategori Sosial.

Sumber: PCMag, Fairphone

Baca juga: