Telefon Masuk Air, Apa Kena Buat?

Jangan gelabah, rileks dan ikuti panduan ini.


Siapa yang pernah mengalami situasi telefon pintar ke dalam air? Tidak kiralah sama ada sengaja ataupun tidak, ia pasti mendatangkan kerisauan tahap maksimum kepada kita.

Bagi mereka yang mungkin pertama kali menghadapi insiden telefon pintar dimasuki air, pastinya mereka akan menjadi gelabah, risau dan mula memikir duit akan melayang kerana terpaksa membeli telefon pintar baru atau untuk membaikinya.

Sebenarnya, anda tidak perlu terlalu bimbang jika insiden seperti itu berlaku. Sebaliknya bertenang dan ikuti langkah-langkah ini yang akan dapat membantu anda menyelamatkan telefon pintar yang telah dimasuki air.

1.  Segera keluarkan peranti dari air


Apabila telefon pintar anda telah terjatuh ke dalam air, janganlah berputus asa terhadap peranti itu. Sebaliknya keluarkan segera peranti itu dari air. Jangan dibiarkan ia terendam lama di dalam air, tidak kiralah jika model peranti itu didakwa pengeluar sebagai kalis air sekalipun, jangan dibiar ia terendam lama di dalam air.

2. Jangan hidupkan peranti


Kebiasaannya, apabila telefon pintar dimasuki air, peranti itu secara automatik akan terpadam sendiri. Jadi, jangan bimbang terhadap situasi ini. Anda pula jangan cuba sekali-kali menghidupkan peranti yang telah dimasuki air itu. Sebaliknya biarkan saja ia dalam keadaan itu. Menghidupkan peranti dalam keadaan basah hanya akan menyebabkan litar pintas pada papan elektronik peranti. Sekaligus menyebabkan peranti rosak sepenuhnya.

3. Leraikan peranti, lap dan keringkan


Sekiranya peranti anda itu boleh ditanggalkan baterinya, cabut keluar bateri itu dari peranti. Lapkan air yang ada pada peranti dan keringkan peranti itu dengan mendedahkannya pada panas matahari.

Tetapi jangan pula cuba mengeringkan peranti anda itu secara paksa dengan menggunakan alat seperti pengering rambut. Tindakan itu hanya akan memudaratkan peranti.



Sebaliknya biarkan saja peranti kering secara sendiri perlahan-lahan. Atau anda juga boleh menggunakan bahan penyahlembapan seperti paket gel silika.

Malah berdasarkan ujian oleh laman Gazelle terhadap penggunaan beras dengan gel silika bagi mengeringkan peranti pintar yang dimasuki air mendapati, gel silika adalah yang terbaik bagi mengeringkan peranti.

"If a drying agent is used, silica gel is the best of the options tested... Uncooked white rice is not recommended due to its poor performance as a drying agent." Gazelle.

4. Sabar




Akhir sekali tindakan yang boleh anda lakukan adalah menunggu dengan sabar sehingga telefon pintar anda itu kering sepenuhnya. Ia mungkin akan mengambil masa beberapa jam sehingga peranti anda itu benar-benar bebas sepenuhnya dari air.

Sebenarnya, setiap model telefon pintar ada diberikan panduan cara menguruskan peranti yang dimasuki air oleh pengeluarnya. Sebagai contoh, panduan pengguna yang disediakan oleh Samsung untuk pengguna telefon pintar Samsung Galaxy  dan panduan dari Apple untuk pengguna iPhone.

Kesimpulan


Walaupun para pengeluar ada mengiklan dan menguar-uarkan telefon pintar keluaran mereka itu adalah kalis air pada ke dalaman untuk masa tertentu. Tetapi jangan disebabkan itu anda yakin dengan dakwaan-dakwaan tersebut. Ini kerana kerosakan telefon pintar yang berpunca dari cecair (walau dalam keadaan apa sekalipun) adalah tidak termasuk dalam jaminan peranti oleh pengeluar.

Kapsyen: Contoh: Apple

Berkaitan