Telefon Kompak, ASUS Zenfone 9 Akan Diperkenal Hujung Julai

ASUS Zenfone 9 akan dilancarkan di beberapa lokasi iaitu New York, Berlin dan Taipei pada 28 Julai 2022.

Untuk waktu Malaysia, ia akan dilangsungkan pada jam 9 malam, 28 Julai ini.

Acara pelancaran ini dijangka boleh distrim secara langsung melalui YouTube bagi mereka yang di luar kawasan.



Terdahulu, sebuah video telah tertiris yang mendedahkan spesifikasi telefon ini. Ia akan menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1, skrin AMOLED Samsung bersaiz 5.9 inci dengan kadar segar 120Hz dan bateri 4300mAh.

Kameranya pula terdiri daripada sebuah lensa 50MP IMX766. Ia juga akan mempunyai perlindungan terhadap air dan debu IP98.

Menariknya, ASUS mengiklankan bahawa ia akan hadir dengan saiz kompak, satu saiz yang sangat jarang dibawakan pengeluar beberapa tahun ini.



Secara peribadi, saya sangat teruja untuk menggunakannya kerana rekaannya tampak ringkas dan kemas tanpa mencuba menjadi unik.

Dua lensa di belakang ditempatkan secara berasingan dan tiada 'tapak' menyatukan mereka, yang bagi saya sangat sederhana reka bentuknya. Ini mencambahkan lagi minat saya di kala semua telefon berlumba-lumba menjadi paling berkuasa.

Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut sebelum perasmiannya nanti.

Sumber: Gizmochina