"Telefon Boleh Lipat Samsung Juga Merupakan Tablet Yang Boleh Disimpan Di Dalam Poket" - CEO Samsung

Sudah sekian lama kita mendengar mengenai telefon pintar boleh lipat daripada Samsung. Namun sehingga kini, peranti berkenaan masih lagi belum dilancarkan. Akan tetapi, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Samsung seolah-olah memberi gambaran bahawa ia akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Eksekutifnya, DJ Koh, sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan mengenai peranti tersebut. Menurut beliau, telefon boleh lipat tersebut juga merupakan sebuah tablet yang boleh disimpan di dalam poket pengguna.

https://youtu.be/MKG7XRsG9KQ

Iklan konsep yang dikeluarkan Samsung pada 2014. (Kredit: IndVideos)


Ia sekaligus menggambarkan peranti ini akan mempunyai saiz paparan yang besar. Selain itu, terdapat juga ura-ura menyatakan ia akan hadir dengan saiz sebesar dua buah Galaxy Note 9.

DJ Koh turut memberi alasan mengapa peranti ini mengambil masa yang lama untuk dilancarkan. Menurut beliau, sesebuah peranti Samsung yang ingin dijual perlu memenuhi standard yang beliau tetapkan terlebih dahulu sebelum ia boleh dipasarkan.

Kapsyen: Kredit : Daily News


Tambahnya lagi, beliau tidak mahu pengguna membeli produk Samsung yang tidak berkualiti. Koh juga sebelum ini memberitahu bahawa peranti boleh lipat ini mungkin akan diperkenalkan buat kali pertama di acara persidangan pembangun Samsung pada bulan hadapan.

Selain Samsung, beberapa pembangun lain seperti Huawei, Oppo dan Xiaomi turut menyatakan rancangan untuk melancarkan peranti boleh lipat di masa akan datang.

Adakah anda sebagai pengguna juga berminat untuk mendapatkan peranti sebegini? Atau lebih selesa dengan telefon pintar biasa yang ada pada hari ini? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.

 

Sumber : The Verge