Telefon Boleh Lipat Huawei Akan Diperkenalkan Pada 24 Februari Ini

Masih lagi dengan peranti boleh lipat. Kali ini, Huawei pula telah mengumumkan tarikh perkenalan rasmi model boleh lipat mereka di persidangan MWC kelak.

Huawei Mate Flex(nama tidak rasmi) bakal diperkenalkan kepada umum buat kali pertama pada 24 Februari ini di Barcelona.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Huawei melalui satu kicauan di akaun Twitter rasmi mereka semalam.



Menggunakan tanda pagar #ConnectingTheFuture, CEO Huawei Richard Yu sebelum ini telah menggelarkan peranti tersebut sebagai "peranti boleh lipat dengan sokongan 5G pertama di dunia".

Bagaimanapun, model boleh lipat Samsung juga dikatakan akan menyokong sambungan yang sama dan mungkin akan diperkenal lebih awal(20 Feb).

Sekiranya benar, maka Huawei Mate Flex ini bukanlah pertama pertama dengan ciri tersebut.

Setakat ini, tiada sebarang maklumat lanjut mengenai spesifikasi peranti tersebut.

Malah, nama Mate Flex juga masih belum disahkan oleh Huawei walaupun ia adalah nama yang paling sering dikaitkan dengan model berkenaan.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan sebuah tablet dan telefon dalam waktu yang sama, anda mungkin perlu bersedia dengan simpanan wang bermula dari sekarang kerana MWC 2019 nanti dijangka menjadi arena bagi "perang peranti boleh lipat".

 

Sumber: Huawei Mobile