Telefon Bajet Nokia 3.4 Dan Nokia 2.4 Dilancarkan - Menjanjikan Kemaskini Sehingga Android 12

HMD Global hari ini telah mengadakan acara khas untuk produk-produk Nokia terbaharu secara global. Mereka telah melancarkan 2 buah telefon bajet iaitu Nokia 3.4 dan Nokia 2.4.

Nokia 3.4


Nokia 3.4 merupakan telefon pintar yang dijana oleh cip Snapdragon 460 serta rekaan kamera berlubang memuatkan swafoto 8MP.

https://youtu.be/upL0seoy_9I

Skrinnya adalah berukuran 6.39 inci dan beresolusi HD+ LCD sahaja. RAM pula adalah 3GB manakala storan dalaman 64GB. Telefon juga turut menyokong kad microSD 512GB untuk penambahan storan.

Pada bahagian belakang terdapat 3 lensa dibarisi 13MP utama, 5MP sudut lebar dan 2MP depth. Terdapat juga pengimbas cap jari pada bahagian bawah modul kamera.



Kapasiti bateri pula adalah sebesar 4,000mAh namun sedikit mengecewakan pengecasan adalah sekadar 10W melalui USB-C. Ciri lain adalah butang Google Assistant, Bluetooth 4.2, serta Face Unlock.

Harga jualan Nokia 3.4 adalah $179 (~RM740). Antara ciri utama telefon ini adalah kemaskini sehingga Android 12 dan juga perisian ringkas dari Android asli.

Nokia 2.4


Nokia 2.4 merupakan model yang lebih ringkas dan hadir dengan spesifikasi asas. Skrinnya adalah 6.5 inci HD+ dari panel LCD serta takuk kecil.

https://youtu.be/caN_e8f4FGs

Cip yang dijana adalah MediaTek Helio P22. Dengannya, RAM lebih kecil 2GB serta pilihan storan dalaman 32GB/64GB. Ia juga turut menyokong storan microSD.

Pada Nokia 2.4, kamera belakangnya hanya mempunyai 2 lensa. Ia adalah dari 13MP utama dan juga 2MP depth. Manakala swafoto pula adalah 5MP.

Bateri berkapasiti lebih besar dari Nokia 3.4 dengan 4,500mAh namun sistem pengecasan adalah dari 5W dan juga microUSB.



Sepertimana Nokia 3.4, HMD juga turut menjanjikan kemaskini sehingga Android 12.

Untuk harga jualan, Nokia 2.4 dipasarkan pada harga 119 euro (~RM576). Buat masa ini, belum diketahui sama ada model ini akan memasuki pasaran Malaysia atau tidak.