Teknologi Wi-Fi 6 Secara Rasminya Diumumkan Oleh Wi-Fi Alliance

Wi-Fi 6 menjanjikan sokongan rangkaian lebih luas dan prestasi yang lebih baik.


Wi-Fi Alliance pada awal hari ini telah mengumumkan pelancaran piawaian terbaru bagi teknologi sambungan tanpa wayar, Wi-Fi 6. Dari pengumuman ini, dijangkakan pelbagai peranti pintar yang akan tiba pada lewat tahun ini dan tahun hadapan sebahagian besarnya bakal menyokong rangkaian Wi-Fi 6 (802.11ax) ini.

Kapsyen: Galaxy Note10 adalah telefon pintar pertama yang menyokong teknologi Wi-Fi 6. Selain Samsung, barisan model terbaru iPhone 11 yang baru diperkenalkan juga turut menykong teknologi tanpa wayar baru ini.


Wi-Fi 6 yang didakwa mampu menampung kapasiti rangkaian sehingga 4 kali lebih baik berbanding versi sebelumnya menjanjikan evolusi terhadap teknologi tanpa wayar di mana ia akan memberikan liputan rangkaian yang jauh lebih luas serta peningkatan prestasi yang lebih baik.

Ia sekaligus memberikan manfaat khususnya aplikasi di lokasi-lokasi besar seperti institusi pendidikan,  lapangan terbang, pejabat dan sebagainya.

Malah ia juga dikatakan mampu memberikan penjimatan bateri untuk peranti-peranti yang menyokong piawaian baru ini.

Setakat ini, pembangun industri dalam pelbagai bidang teknologi seperti Broadcom, AT&T, Cisco, Intel Corp, Qualcomm Technologies, Samsung Electronics, TP-Link dan Xiaomi Corporation sudah sedia menyokong Wi-Fi 6.