Teknologi OPPO VOOC Flash Charge Dilesenkan Untuk Beri Nikmat Kepada Pengguna Telefon Pintar Yang Lain

Voltage Open Loop Multi-step Constant-Current Charging atau lebih dikenali sebagai VOOC Charge merupakan satu teknologi pengecasan pantas yang dibangunkan OPPO untuk peranti pintar mereka.

Mampu mengecas sepantas 75% kuasa dalam masa 30 minit, VOOC menggunakan arus yang lebih tinggi daripada pengecasan 2.0 biasa.

Oleh kerana ia milik sepenuhnya syarikat pengeluar China itu, teknologi VOOC hanya boleh dilihat pada barisan telefon pintar OPPO sahaja. Namun ia telah dilesenkan secara dalaman kepada OnePlus dan hasilnya Dash Charge dihasilkan.

Kapsyen: Yiren Shen, Timbalan Presiden OPPO Global mengumumkan pelesenan teknologi VOOC Flash Charge


Terbaru, OPPO telah mengumumkan secara rasmi bahawa mereka akan melesenkan VOOC Flash Charge (termasuk SuperVOOC Flash Charge) yang ketika ini menguasakan lebih dari 100 juta peranti mudah alih OPPO diseluruh dunia.

Perjanjian lesen paten telah dimeterai bersama enam pengeluar cip dan terminal, OPPO dilihat mahu memacu pembangunan industri pengecasan pantas dan membina ekosistem dengan rakan kongsi industri bagi menawarkan pengalaman pengecasan pantas kepada pengguna yang lain.

Ini merupakan berita gembira kerana telefon pintar lain mempunyai peluang menikmati penawaran yang selama ini boleh didapati pada peranti OPPO sahaja.