Teknologi Dwi Piksel Boleh Bantu Kamera Untuk Autofokus Dengan Lebih Pantas Dan Jelas

Kalau bercerita mengenai kamera ditelefon pintar, kita sudah melihat banyak fungsi dan ciri menarik ditambah supaya hasil rakaman foto menjadi lebih cantik.

Cuba bandingkan foto yang diambil dari telefon pintar anda sekarang dengan foto dari peranti 10 tahun lalu. Banyak beza bukan?

Dalam banyak-banyak teknologi yang melengkapi kamera telefon pintar sekarang adalah teknologi dwi piksel yang mana ia bukanlah asing bagi kamera DSLR dan mirrorless.

Teknologi dwi piksel menjanjikan peningkatan kualiti kepada rakaman foto pada pencahayaan rendah dan juga keupayaan autofokus untuk peranti.

Sensor kamera terdiri daripada gabungan piksel-piksel kecil didalamnya.  Piksel ini berfungsi untuk menangkap cahaya dari subjek yang hendak dirakam. Lebih banyak cahaya masuk ke sensor bermakna lebih baik gambar yang akan dihasilkan.

Walaubagaimanapun, telefon pintar semakin lama semakin nipis dan mengehadkan ruang untuk meletakkan lensa yang besar.

Bagi memberikan kualiti kamera yang lebih baik, teknologi dwi piksel diperkenalkan pada telefon pintar. Melaluinya, piksel dibahagikan kepada dua tapak foto yang berasingan.

Kapsyen: Susun atur piksel didalam sensor


Setiap piksel tersebut mengandungi dua fotodiod yang terletak bersebelahan dibawah lensa mikro. Fotodiod ini boleh kita gambarkan seperti kedua-dua mata kita.



Ketika fokus, dua fotodiod itu menerima input yang berupa cahaya dari pelbagai sudut. Secara asasnya, Ia bertindak sebagai sistem tumpuan pengesanan (phase detection), dengan itu kamera akan berupaya fokus pada subjek ketika situasi kurang cahaya.



Apabila merakam imej, kedua-dua  fotodiod akan berfungsi bersama secara konsisten untuk menghasilkan output piksel tunggal yang mana ia akan digabungkan. Beza dwi piksel dengan PDAF (Phase Detection Auto Focus), hanya 5% piksel digunakan untuk pemfokusan.



Dengan kata lain, teknologi dwi piksel memberikan kita kebolehan autofokus yang pantas serta lebih tajam, penghasilan gambar dan mengesan objek dengan lebih baik.

Peranti dari Samsung juga merupakan antara yang terawal mengaplikasikan teknologi dwi piksel iaitu siri Galaxy S7. Lain-lain pengeluar yang turut menggunakan teknologi sama adalah Vivo menerusi X21 dan juga Vivo V11 Pro.

Mungkin ada diantara anda yang sudah maklum, Samsung telah melancarkan ISOCELL Dual, sebuah sensor yang dilengkapi dengan teknologi dwi piksel dan menurut syarikat itu, ia turut membolehkan penghasilan kesan bokeh tanpa memerlukan dwi kamera.

Itulah serba sedikit berkenaan teknologi dwi piksel yang perlu anda tahu. Jika ada sebarang informasi tambahan boleh kongsikannya diruangan komen.