Teknologi Dari Anak Tempatan Ini Mampu Menyelamat Nyawa Dari Terkorban Di Landasan Kereta Api

Menurut laporan Indian Railways(via NDTV), hampir 50,000 orang telah meninggal dunia di atas landasan kereta api di India. Sebahagian besar daripadanya adalah berpunca daripada dilanggar gerabak semasa berada di atas landasan.

Tragedi sedemikian mungkin jarang kita dengar berlaku di Malaysia. Namun, kejadian seperti itu berkemungkinan akan berlaku sekiranya perkara ini diambil mudah.

Atas sebab itu, AZTI® Technology Sdn Bhd, sebuah syarikat teknologi tempatan telah menghasilkan satu teknologi yang mampu menyelamatkan orang ramai dari terkorban di atas landasan kereta api.

Kapsyen: AZTI Group


Teknologi yang digelar sebagai sistem Platform Intrusion Emergency Stop(P.I.E.S®) itu telah dipertontonkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa persidangan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) 2018 baru-baru ini.

Sistem P.I.E.S ini akan mengesan sekiranya ada objek yang berada di landasan(selain daripada gerabak) melalui alat pengesan yang dipasang di bawah landasan. Selepas itu, amaran akan diberikan kepada Local Control Panel yang berada di bilik peralatan.

Kemudian, amaran tersebut akan disambungkan ke bahagian Platform Control Panel, Signalling dan sistem SCADA sebelum landasan ditutup bagi menghalang kereta api daripada masuk.

Untuk memahami sistem ini dengan lebih mudah, anda boleh menonton video animasi yang disediakan di bawah:

https://www.youtube.com/watch?v=fxWu3BUml_s&fbclid=IwAR11fvEH2LY3fYx_kdw-TKLjzhtdmvbEDPynrigD1Df8bB0nAyUAG-0dpWM

Pada 19 April yang lalu, seorang wanita mengandung secara tiba-tiba telah pengsan dan terjatuh ke atas landasan. Mujur dengan adanya teknologi ini, kereta api dapat dihentikan dengan segera dan tiada sebarang kejadian diingini telah berlaku.

Kejadian tersebut telah berlaku di stesen LRT Damai sambil sistem PIES® ini telah dipasang di stesen LRT Kelana Jaya. Setakat hari ini, sistem ini telah dipasang di 36 stesen sepanjang laluan LRT Ampang sementara 32 stesen lagi di laluan LRT Kelana Jaya.

Tambahan pula, 20 lagi stesen yang terlibat dengan Projek Prasarana LRT3 dijangka bakal dilengkapi teknologi dalam masa terdekat.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai AZTI Group mahupun teknologi PIES® ini, anda boleh melayari laman sesawang rasmi mereka di http://www.aztigroup.com/.

 

Sumber: AZTI Group