Teknologi 5G - Huawei Masih Untung Walaupun Disekat AS

Ketika mana pentadbiran Trump mendakwa Huawei sebagai ancaman negara dan syarikat teknologi itu menepis dengan kenyataan sebaliknya, kita sebagai pengguna tertanya-tanya apakah kesudahan yang bakal berlaku.

Umum mengetahui yang mana Huawei tidak lagi dibenarkan berurus niaga dengan syarikat atau teknologi berasal dari AS kecuali melalui lesen sementara yang diberikan. Ditambah pula dengan pindaan undang-undang pada Mei lepas, ia turut menyekat pembekalan cip kepada gergasi teknologi China itu.

Dilihat secara kasar ia mungkin akan merugikan Huawei. Tetapi menurut dapatan daripada dua firma penyelidikan GreyB Service Pte. dan Amplified AI Inc, hal ini turut memberikan impak kepada AS dalam pelaksanaan 5G kelak.

Hal ini kerana Huawei merupakan salah satu pemegang terbesar paten berkaitan teknologi 5G. Lima lagi syarikat yang disebutkan adalah Samsung Electronics Co., LG Electronics Inc., Nokia Oyj, Ericsson AB dan Qualcomm Inc, satu-satunya syarikat yang berasal daripada Amerika Syarikat.

Walaupun pelbagai langkah dilakukan AS, Huawei masih berkelebihan menerusi royalti dari pelesenan paten.
“Even if they hire some other company to build the 5G infrastructure, they still have to pay the Chinese company because of the intellectual contribution to develop the technology,” Deepak Syal, Pengarah GreyB Services Pte.(laporan Bloomberg)

Terdahulu melalui akaun Twitter, Huawei ada membuat ciapan mengutarakan situasi yang sedang berlaku ini. Namun begitu, tinjauan di platform tersebut didapati ciapan tersebut sudah dipadam.



Sumber: Bloomberg