Tawar Kandungan Netflix Dari Semua Negara, Aplikasi Ini Sebarkan Perisian Hasad Melalui WhatsApp

Penyelidik keselamatan dari Check Point mendakwa telah berlaku penyebaran perisian hasad melalui aplikasi FlixOnline yang disebarkan menggunakan WhatsApp.

Aplikasi FlixOnline yang boleh dimuat turun melalui Play Store, menarik perhatian pengguna dengan menawarkan penstriman Netflix tanpa had daripada mana-mana negara lain secara global. Umum mengetahui, setiap negara mempunyai kandungan filem dan rancangan yang mungkin berbeza.

Tidak hanya itu, aplikasi berkenaan turut menjanjikan dua bulan langganan Netflix secara percuma.



Bagaimanapun, apabila aplikasi itu dipasang pada peranti Android, perisian hasad akan mengubah tetapan untuk membenarkan peranti memberikan respon secara automatik kepada notifikasi WhatsApp.

Seterusnya, ia akan membalas mesej secara automatik kepada setiap pesanan masuk WhatsApp.

"2 Months of Netflix Premium Free at no cost For REASON OF QUARANTINE (CORONA VIRUS)* VIRUS)* Get 2 Months of Netflix Premium Free anywhere in the world for 60 days. Get it now HERE” [insert malicious link]."

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika WhatsApp turut digodam atau hanya mengeksploitasi kerentanan pada aplikasi itu. Juga, tidak diketahui sama ada ia hanya sebahagian iklan yang mempromosikan aplikasi itu atau mempunyai tujuan lain.

Sehingga kini, aplikasi itu hanya dimuat turun oleh sekitar 500 peranti sahaja sebelum dikeluarkan dari Google setelah dimaklumkan oleh Check Point. Jika anda salah seorang yang telah memasang aplikasi ini, adalah disarankan untuk menukar semua kata laluan yang menggunakan sama seperti akaun berkenaan.

Sumber: Info Security