Tambang E-Hailing Mungkin Naik Sehingga 50%

Sepertimana yang semua sudah maklum, peraturan baru e-Hailing yang memerlukan pemandu perkhidmatan memiliki lesen PSV bakal bermula pada 12 Julai ini. Kini terdapat kemungkinan harga tambang yang akan dikenakan kepada penumpang akan meningkat sehingga 50% berbanding harga sedia ada.

Ini merujuk kepada ramalan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Pemandu E-Hailing Malaysia,  (MeHDA) Daryl Chong yang menjangkakan peningkatan harga tambang, bergantung kepada keadaan semasa seperti kekurangan pemandu yang memiliki lesen PSV serta masa menunggu yang lebih lama akibat jarak pemandu yang lebih jauh dari penumpang.

Menyatakan kepada The Star, Chong memberi contoh tambang perjalanan RM10 mungkin naik hingga kepada RM20 semasa waktu puncak. Tambang yang tinggi ini mungkin akan menyebabkan penurunan jumlah penumpang. Untuk itu, kenaikan minimum mungkin dikenakan iaitu sekitar RM15.

Dalam laporan yang sama, berdasarkan APAD, Malaysia mempunyai 167,000 pemandu e-hailing dan Kementerian Pengangkutan mendedahkan hanya 16,338 sahaja yang mendaftar ujian PSV.

Sumber: The Star via Malay Mail