Syarikat Kurier City-Link Express Dianugerahkan Pemandu Lori Terbaik Di Majlis Anugerah Industri Penghantaran E-Dagang 2019

Pos Malaysia pula dianugerahkan Pemandu Van Terbaik.


Pada 14 November lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) telah meraikan para pemain industri pos dan kurier di Majlis Anugerah Industri Penghantaran E-Dagang 2019 yang berlangsung buat kali ketiga di Cyberjaya, Selangor.

Sebanyak 10 kategori anugerah berbeza diwujudkan bagi menghargai pencapaian cemerlang terhadap pembangunan dan pertumbuhan industri perkhidmatan pos dan kurier, terutamanya dalam sektor E-Dagang di negara ini.

Kapsyen: Kredit: FB Pos Malaysia


Pada majlis itu, Pos Malaysia Berhad telah merangkul 4 anugerah berprestij iaitu Anugerah Kecemerlangan Keselamatan Jalan Raya bagi kategori  Pemandu Van Terbaik dan Pemandu Lelaki Terbaik, Anugerah Pekerja Terbaik Industri serta Anugerah Peningkatan Prestasi Terbaik.

Manakala syarikat kurier tempatan, City-Link Express Sdn Bhd pula berjaya memenangi Anugerah Kecemerlangan Keselamatan Jalan Raya untuk kategori Pemandu Lori Terbaik; Anugerah Tanggungjawab Korporat Sosial Terbaik dan Anugerah Kecemerlangan Penghantaran.

Kapsyen: Kredit: City-Link


 

Kategori anugerah lain yang turut dipertandingkan adalah Anugerah Inovasi Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Pelanggan dan satu lagi kategori baharu iaitu Anugerah Peningkatan Prestasi Terbaik sebagai tanda penghargaan kepada para pemain yang telah pamerkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Laporan e-Conomy South-East Asia 2019 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, nilai e-dagang di Malaysia telah meningkat sebanyak 3 kali ganda sejak 2015 dan nilainya telah mencecah RM12.57 bilion pada 2019.

Malah diramalkan nilai e-dagang negara akan mencecah RM45.8 bilion menjelang tahun 2025 sekaligus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Maka adalah penting bagi syarikat-syarikat industri pos dan kurier di negara ini untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka selain mengamalkan strategi pertumbuhan yang bijak dalam berhadapan dengan pasaran yang kompetitif.

Berkaitan