Syarikat Dari Israel Mendakwa Perisian Intip Mereka Mampu Menembusi Ciri Keselamatan Storan iCloud

Reading Time: 1 minute

Mereka juga mendakwa turut mampu mengakses dan mengumpul data individu yang terdapat di dalam storan awan Google, Microsoft dan lain-lain.

Sebuah syarikat keselamatan yang berpangkalan di Israel mendakwa mereka telah berjaya membangunkan perisian yang bukan sahaja mampu mengumpul data yang terdapat di dalam telefon pintar pengguna, tetapi juga mampu mengakses servis storan awan pengguna yang dihubungkan bersama peranti telekomunikasi mereka.

Ia termasuklah servis storan awan iCloud yang dimiliki Apple, Google Drive yang dimiliki Google serta Amazon, Facebook dan Microsoft.

Berdasarkan kepada laporan oleh Financial Times, versi perisian intip (spyware) Pegasus terbaru yang dibangunkan oleh syarikat NSO Group dari Israel itu telah ditawarkan kepada beberapa pelanggan berpotensi mereka.

Perisian intip itu didakwa boleh dipasang pada model terbaru iPhone serta telefon pintar Android. Lebih memburukkan keadaan, walaupun spyware tersebut telah dibuang dari peranti, ia akan terus dapat mengumpul data menerusi peranti tersebut.

Susulan laporan itu, pihak Apple telah respon terhadap dakwaan tersebut,

Apple operating system is the safest and most secure computing platform in the world. While some expensive tools may exist to perform targeted attacks on a very small number of devices, we do not believe these are useful for widespread attacks against consumers.

Pihak Microsoft pula memberikan respon ringkas dengan menyatakan mereka terus berevolusi meningkatkan ciri keselamatan mereka.

Manakala pihak Amazon pula sedang menyiasat isu tersebut.

Pada 2016 dahulu, pihak Apple pernah berdepan dengan isu serangan spyware Pegasus dan berjaya menangani serangan tersebut dengan segera melepaskan kemas kini pada sistem operasi iOS dan macOS.

Selain insiden tersebut, serangan terbaru yang dipercayai dilakukan oleh spyware Pegasus dari NSO Group ini adalah pada bulan Mei lalu di mana ia telah menyerang aplikasi sembang popular WhatsApp dengan mengeksploitasi kelemahan yang ada pada aplikasi tersebut.

Sumber: MacRumors

ariff bukhari
Tentang Penulis

Ariff Bukhari adalah penulis dan pemilik laman AriffMac.com yang mengkhususkan produk-produk Apple. Kini beliau berkolaborasi bersama team Wiser.my.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *