Kini terdapat banyak pilihan yang kita boleh dapati untuk peranti boleh pakai. Disebabkan banyak pilihan, mana satu peranti yang anda rasa sesuai untuk anda?
Bagi anda yang minat bersukan pasti akan tertarik produk jam sukan. Hari ini saya akan cerita sedikit tentang satu produk jam sukan dari Suunto iaitu Suunto 9 Peak.
Spesifikasi
- Dimensi: 43 x 43 x 10.6 mm / 1.69 x 1.69 x 0.42 “
- Berat: 52 g / 1.83 oz
- Bezel: Titanium Grade 5
- Paparan: Matrix LED 240×240 pixel, 1.69 inci (Sapphire crystal)
- Tali: Silikon
- Mod sukan: 80 sukan
- Sensor: Suhu | Barometer | VO2Max | Altimeter | Kompas
Binaan dengan bahan Titanium
Suunto membawakan 3 siri pada Suunto 9 mereka ini iaitu Suunto 9, Suunto 9 Baro dan Suunto 9 Peak. Bagi varian 9 Peak ini, ia lebih elegan, nipis dan lebih minimalis berbanding dengan varian 9 biasa dan 9 Baro.
Dalam varian Peak ini juga terdapat 2 lagi pilihan iaitu dengan binaan stainless steel dan satu lagi ialah titanium. Model yang saya ulas ini adalah Suunto 9 Peak Granite Blue Titanium.
Beza antara model logam tahan karat (stainless steel) dan titanium ini adalah material titanium ini lebih ringan dan lebih tahan lasak berbanding dengan stainless steel. Hal ini kerana titanium merupakan logam asli manakala stainless steel pula adalah logam campuran.
Paparan yang digunakan adalah Matrix LED 1.69 inci dan dilindungi dengan kristal nilam (sapphire crystal) yang mana ia sangat keras dan tidak mudah calar. Setakat terjatuh atau terkena baru tidak akan meninggalkan kesan.
Oleh kerana ia menggunakan paparan jenis LED, bateri jam ini mampu bertahan sehingga 14 hari untuk penggunaan paling minimum, 5-6 hari untuk penggunaan biasa dan 1-2 hari untuk penggunakan ekstrem.
Tempoh pengecasan Suunto 9 Peak ini tidak mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang 1 jam pengecasan. Sekadar maklumat tambahan, jika anda kehilangan wayar pecasannya, ia boleh didapati dengan harga RM195 sahaja. Ya, RM195 sahaja.
Sehingga 80 mod sukan
Disebabkan Suunto 9 Peak ini adalah jam tangan khusus untuk aktiviti riadah, sudah pasti ia disertakan dengan ciri-ciri pemantauan sukan yang kita lakukan. Apa yang menariknya jam ini ialah ia disertakan sehingga 80 jenis sukan.
Jika anda tidak jumpa sukan yang anda lakukan, anda juga boleh pergi ke unspecified sport yang mana disini anda diberi 2 pilihan sama ada indoor atau outdoor mengikut kepada jenis aktiviti yang anda lakukan.
Pelbagai Jenis Sensor
Seutas jam tangan sukan sehingga RM3199, Suunto 9 Peak ini mempunyai pelbagai sensor yang disertakan di dalamnya.
Fungsi yang wajib ada untuk jam sukan adalah pemantauan kadar degupan jantung (heart rate), langkah jalan (step) dan pamantauan tidur (sleep tracker).
Fungsi SpO2 (tahap oksigen dalam darah) merupakan tambahan yang terdapat pada jam sukan ini. Lebih-lebih lagi ketika kita sedang berada dalam pandemik Covid-19 ini.
Kita sentuh pula berkenaan sensor lain yang disertakan pada jam ini antaranya ialah GPS, kompas, suhu, barometer, altimeter dan VO2Max.
GPS pada Suunto 9 Peak ini bagi saya agak tepat. Untuk kesan kedudukan waktu kita jogging tu tepat dan tidak seperti jam sukan lain yang kadang-kadang hilang kedudukan GPS.
Fungsi lain saya sentuh secara ringkas sahaja iaitu sensor suhu yang mana jam ini boleh menyukat suhu persekitaran, barometer yang mengesan perubahan tekanan udara untuk meramal cuaca, altimeter untuk mengukur ketinggian dari aras laut dan VO2Max untuk memantau pengaliran darah dalam badan ketika kita sedang bersukan.
Berbaloikah harga dengan fungsi dan ciri yang ditawarkan?
Harga untuk Suunto 9 Peak bermula dengan RM2799 untuk model stainless steel dan RM3199 untuk model Titanium.
Dengan harga RM3199, ia adalah harga yang sukar dihadam tetapi fungsi yang ditawarkan sangat menepati ciri bagi seseorang yang sangat memerlukan fungsi analisis dan pemantauan aktiviti riadah dengan ketepatan yang tinggi.