Sudah Terima Pensijilan SIRIM, Vivo S1 Pro Mungkin Diperkenalkan Tidak Lama Lagi

Sekitar Julai yang lepas kita sudah melihat Vivo Malaysia datang membawakan peranti dalam siri terbaru iaitu siri S dan nampaknya model itu tidak akan dibiarkan bersendirian.

Sedia mengacah kedatangan model baru dikenali sebagai S1 Pro, model ini dikatakan sudah melepasi pensijilan daripada SIRIM dan ini bermakna penawarannya bakal dibuat tidak lama lagi.



Jika melihat dari segi reka bentuk, ia mirip seperti Vivo S5 yang dilancarkan di China tempoh hari. Namun begitu, perbezaan ketara boleh dilihat pada kamera hadapan dimana S1 Pro mempunyai takuk pada bahagian tengah skrin, manakala S5 pula dengan punch hole di bucu kanan paparan.

Buat masa sekarang spesifikasi mengenai peranti ini masih belum lagi dapat dipastikan tetapi berdasarkan penawaran di negara jiran, Indonesia, Vivo S1 Pro hadir dengan Snapdragon 665, skrin SuperAMOLED 6.38 inci, padanan memori RAM8GB dan storan 128GB bersama sokongan kad MikroSD sehingga 256GB.



Pada bahagian janaan kuasa pula ia dimuatkan dengan bateri 4500mAh dan menyokong pengecasan pantas Dual Engine Fast Charging menerusi port USB-C.

Tetapan kuad kamera berada dibelakang yang membariskan kamera 48MP, 8MP ultra lebar, 2MP kedalaman serta 2MP makro. Lensa 32MP pula menggalas tugas rakaman bahagian hadapan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penawaran Vivo S1 Pro, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi daripada Vivo Malaysia.