Stronger, Sharper dan Swagger - Vivo S1 Pro Bakal Dilancarkan Di Malaysia

Vivo sentiasa membawa pembaharuan yang inovatif dalam peranti mereka dan berikutan dengan satu perkongsian gambar di laman Facebook Vivo Malaysia baru-baru ini, apakah itu bermakna kita boleh menjangkakan yang Vivo S5 akan tiba di Malaysia tidak lama lagi? Walau bagaimanapun, telefon pintar dengan rupa yang hampir sama dengan model S5 tersebut adalah Vivo S1 Pro sebenarnya dan turut dimuatkan dengan spesifikasi yang berlainan.

Seusai pelancarannya di China tempoh hari, Vivo S1 Pro kini mula diintai para peminat Malaysia kerana mempunyai ciri-ciri menarik dengan modul kamera berbentuk berlian di bahagian belakang yang menempatkan kombinasi empat kamera.

Sementara itu, sistem kuad kamera di bahagian belakang dipimpin oleh sensor 48MP manakala kamera sekundernya mungkin akan mempunyai sensor khusus untuk fotografi ultra-lebar, makro dan potret, sama seperti ciri-ciri yang ada pada S5.

Di dalam pasaran Malaysia, S1 Pro ini dikhabarkan sebagai peranti siri S kedua keluaran Vivo selepas kemunculan Vivo S1 pada empat bulan yang lalu. Vivo S1 Pro yang dilancarkan di China ini dijana dengan bateri berkapasiti 3700mAh yang hadir dengan daya saluran berkuasa 18W.

Ia dilengkapi dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 665 dan kemudiannya bakal digandingkan bersama RAM 8GB serta ruang memori 128GB.












Vivo juga memperkenalkan S1 Pro dengan skrin paparan Super AMOLED berukuran 6.38 inci dan dikatakan bakal menjalankan sistem operasi FunTouch 9 berdasarkan Android 9.0 Pie. Namun, ia masih belum sah untuk pasaran Malaysia.

Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi berkenaan Vivo S1 Pro yang dipercayai merupakan produk terbaru mereka yang bakal dilancarkan di Malaysia pada Disember 2019 ini.