Spotify Akan Memperkenalkan Wajah Baru Aplikasi Mudah Alih Mereka Minggu Depan

Umum telah mengetahui bahawa Spotify bakal mengadakan satu majlis pada 24 April, akan tetapi tujuan majlis tersebut diadakan tidak diberitahu sebelum ini. Namun, pada 16 April, Spotify telah mengeluarkan satu jemputan rasmi kepada pihak media yang memberitahu bahawa majlis berkenaan adalah berkenaan dengan masa depan aplikasi mudah alih mereka.

Majlis tersebut akan diadakan di Gramercy Theatre, New York, Amerika Syarikat dan dijangka akan diisi dengan pembentangan dari Gustav Söderström (Ketua Pegawai R&D), Babar Zafar (Naib Presiden Pembangunan Produk) serta Troy Carter (Ketua Pencipta Global) mereka. Sesi soal jawab bersama media pula akan menyusul selepas itu.

Terdapat juga laporan daripada beberapa sumber yang rapat dengan Spotify menyatakan bahawa majlis ini akan mendedahkan kepada umum berkenaan ciri baharu langganan percuma Spotify yang telah kami laporkan sebelum ini. Selain itu antara yang menjadi sebutan juga ialah fungsi carian menggunakan suara yang turut dijangka akan diperkenalkan pada majlis tersebut.



Apa sahaja tujuan sebenar Spotify menganjurkan majlis ini tentu ditunggu-tunggu oleh penggemar muzik serta para pesaing Spotify yang turut berada dalam industri penstriman muzik. Ikuti perkembangan terbaru dari Spotify berkenaan perkara ini melalui laman sesawang mereka.

Sumber