Sony Xperia XZ3 Berkemungkinan Menggunakan Kamera Utama Dengan Lensa Tunggal 48-Megapiksel

Sony Xperia XZ3 dijangka akan diperkenalkan secara rasmi pada penghujung Ogos ini dan menurut tirisan terkini daripada CompareRaja, peranti tersebut dikatakan akan menggunakan lensa tunggal pada kamera utamanya.

Namun, lensa kameranya bukanlah lensa biasa. Ianya adalah lensa dengan sensor 48-megapiksel iaitu yang tertinggi pernah digunapakai pada sesebuah peranti telefon pintar, sekiranya laporan yang dinyatakan benar.


Kredit : CompareRaja


Sebelum ini, kami pernah melaporkan tentang satu sensor kamera, IMX586 yang sedang dibangunkan oleh pihak Sony untuk digunakan pada telefon pintar. Namun, semasa laporan tersebut dibuat, pemerhati industri berpendapat bahawa lensa berkenaan hanya akan hadir seawal-awalnya pada tahun 2019.

Maka, sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, ia pasti akan mengejutkan pelbagai pihak. Sony pernah menyatakan bahawa lMX586 mampu memberikan kualiti yang setanding dengan kamera yang selalu digunakan oleh jurugambar profesional seperti DSLR.

https://youtu.be/IDcYYFW7cT0

Bagaimanapun, perkara ini masih lagi di peringkat ura-ura. Sebelum ini, banyak maklumat yang didedahkan oleh pakar tiris menyatakan peranti Xperia XZ3 ini akan hadir dengan fungsi dwi-kamera. Malah, terdapat juga laporan menyatakan ia akan didatangkan dengan tiga kamera seperti Huawei P20 Pro.

Sama ada benar atau tidak imej yang didedahkan ini, kita cuma akan dapat jawapannya dari pihak Sony sahaja. Sama-sama kita tunggu maklum balas dari mereka dalam masa terdekat atau mungkin menunggu sehingga ia diperkenalkan secara rasmi pada akhir bulan hadapan.

Sumber