Sony Xperia 8 Lite Diperkenalkan - Hadir Dengan Cip Berusia 3 Tahun Lepas Serta Bateri 2870mAh

Sony di Jepun telah melancarkan sebuah telefon pintar kelas pertengahan Xperia 8 Lite yang mempunyai spesifikasi seiras dengan Xperia 10 yang diperkenalkan pada tahun lepas.

Xperia 8 Lite

Ia membawakan skrin berukuran 6 inci Full HD+ dengan panel LCD serta nisbah ikonik panjang mereka iaitu 21:9. Perbezaan kali ini dengan Xperia 10 tahun lepas adalah tetapan kamera belakang.

Jika pada Xperia 10, dwi-kamera belakangnya adalah 13MP+5MP, Xperia 8 Lite pula hadir dengan gabungan 12MP+8MP. 8MP itu merupakan lensa telefoto yang berkemampuan untuk zum optikal 2x.

Camera

Untuk kamera swafoto, Sony meletakkan sensornya yang bersaiz 8MP pada bahagian dahi telefon yang sedikit tebal.

Apa yang mengecewakan, Sony masih lagi menggunakan cip kurang kompetitif iaitu Snapdragon 630 - yang diumumkan pada tahun 2017. Bersama-sama itu ia disertakan dengan RAM 4GB dan storan dalaman 64GB.

21:9 Multi window

Dengan spesifikasi sama seperti Xperia 10, ia turut mengembalikan semula kapasiti bateri kecil 2,870mAh yang dicas melalui USB-C.

Terdapat juga bicu audio 3.5mm dan telefon juga menjalankan perisian Android Pie, bukannya Android 10.

Sony Xperia 8 Lite dijual pada harga JPY 29,800 (~RM1,169) dalam pilihan warna hitam dan putih di Jepun. Tidak diketahui sama ada model ini akan memasuki pasaran luar Jepun atau tidak.

Sumber: Sony Jepun

Berkaitan