Sony Xperia 5 II Diperkenalkan - Hadir Dengan Snapdragon 865, 6.1 Inci OLED, Dan Bateri 4,000mAh

Pada awal tahun ini, pihak Sony telah memperkenalkan Sony Xperia 1 II yang merupakan telefon pintar mercu Sony untuk tahun 2020.

Jika pada tahun lepas Sony memperkenalkan Xperia 5 sebagai alternatif kompak Sony Xperia 1, tahun ini pula mereka mengumumkan Sony Xperia 5 II sebagai varian lebih kecil untuk Xperia 1 II.



Sebagai telefon pintar bersaiz lebih kecil, ia hadir dengan paparan 6.1 inci OLED dengan kadar segar semula 120Hz. Paparannya juga menyokong HDR dan Creator Mode dengan nisbah 21:9 memanjang.

Selain 120Hz, panelnya juga menyokong input sentuh 240Hz dan optimasi perisian untuk memastikan lengah dapat dikurangkan sehingga 35%.



Apa yang menarik adalah Sony berkolaborasi dengan pembangun Call of Duty untuk memastikan Xperia 5 II boleh dimainkan pada kadar bingkai 120fps.

Ia dijana cip Snapdragon 865 manakala RAM 8GB dan storan dalaman pula 128GB. Sudah semestinya ia akan menyokong rangkaian 5G dengan menggunakan cip ini.

Telefon juga turut mempunyai slot microSD. Agak menarik memandangkan kebanyakan telefon lain di pasaran kekurangan ciri ini.

Kamera belakang menggunakan tetapan sama seumpama Xperia 1 II tapi dengan membuang modul ToF 3D. Lensa utamanya adalah 12MP dengan OIS, ditambah dengan 12MP telefoto OIS dan juga 12MP sudut lebar.

Antara kelebihan kameranya adalah ia kini menyokong tangkapan gerak perlahan 120fps pada resolusi 4K dengan HDR. Ketiga-tiga lensa ini juga mempunyai lapisan anti-pantulan cahaya dari ZEISS.

Swafoto pula menggunakan sensor 8MP yang diletakkan pada bezel nipis bahagian atas telefon.

Seperti mana telefon-telefon mercu Sony lain, ia dilengkapi dengan sistem pembesar suara stereo yang disokong Dolby Atmos, 360 Reality Audio dan juga bicu 3.5mm.



Xperia 5 II turut dilengkapi piawaian kalis air/debu IP68/IPX5 sebagai ciri wajib untuk telefon Sony.

Untuk bateri, Xperia 5 II menggunakan kapasiti bateri yang sama seperti Xperia 1II iaitu 4,000mAh. Pengecasan pantas pula selaju 21W namun dalam kotak hanya diberi pengecas 18W sahaja.

Sony Xperia 5 II dipasarkan pada harga $950 (~RM3,933). Ia sedikit murah berbanding Xperia 1 II namun dari segi penawaran berbanding telefon-telefon lain di pasaran, ia agak tinggi juga.



Buat masa ini Sony Malaysia masih belum mengeluarkan apa-apa kenyatan mengenai harga jualannya untuk pasaran tempatan.