Sony Turut Mengumumkan Xperia 10 II - Peranti Kalis Air IP68 Dengan Cip Snapdragon 665

Terdahulu, Sony telah mengumumkan Xperia 1 II dan Xperia Pro. Dalam acara yang sama, Sony turut mengumumkan Xperia 10 II sebagai peranti kelas pertengahan.

Xperia 10 II dijana cip pemprosesan Snapdragon 665 dengan 4GB RAM dan 128GB storan. Peranti ini mempunyai paparan skrin OLED dengan saiz 6 inci dan nisbah skrin 21:9 CinemaWide serta resolusi Full HD+.

Xperia 10 II

Bagi kamera, ia hadir dengan tiga lensa iaitu 12MP kamera utama dengan PDAF, 8MP sudut ultra lebar dan 8MP telefoto 2x zoom serta kamera hadapan dengan sensor 8MP.

Dengan kapasiti bateri 3600mAh, ia adalah 25% lebih besar berbanding Xperia 10 yang diumumkan pada tahun lalu. Selain itu, peranti ini turut mempunyai penarafan kalis air IP68 serta panel hadapan dan belakang yang diperbuat daripada Gorilla Glass 6.

Xperia 10 II didatangkan dengan bicu audio 3.5mm dan 4 varian warna. Ia akan mula ditawarkan pada musim bunga tahun ini dan tiada pengumuman rasmi mengenai harga peranti ini.