Sony Playstation 4 Kini Sedang Memasuki Fasa Terakhir Dalam Pusingan Jangka Hayatnya

Konsol permainan video nombor satu di dunia, Playstation 4 kini semakin hampir untuk memasuki fasa terakhir dalam jangka hayatnya. Perkara itu diumumkan sendiri oleh CEO Sony, John Tsuyoshi Kodera dalam satu mesyuarat strategi korporat pada Selasa, menurut laporan seorang wartawan Wall Street Journal.

Takashi Mochizuki yang telah menghadiri mesyuarat berkenaan telah membuat beberapa kiriman melalui akaun Twitter beliau berkenaan perkara tersebut.

https://twitter.com/mochi_wsj/status/998787436606976002

Kodera yang sebelum ini telah mengambil alih tugasan CEO bagi pihak Sony daripada Andrew House bermula sejak Oktober tahun lalu. Beliau memaklumkan bahawa kadar jualan produk serta alat ganti Playstation 4 sudah mengalami penurunan sejak kebelakangan ini.

Walaubagaimanapun, ia tidak bermakna pihak Sony akan menghentikan pembangunan permainan video eksklusif terbaru bagi konsol ini dalam masa terdekat. Ini kerana mereka masih percaya bahawa hasil pengeluaran permainan-permainan terbaru ini akan tetap memberi keuntungan kepada pihak syarikat.

Sony sudah pun merekodkan jualan sehingga melebihi 73 juta unit bagi konsol ini sejak dilancarkan pada tahun 2013. Namun sejak 2 tahun kebelakangan ini, unit jualan tahunan telah mengalami penurunan.



Sehubungan dengan itu, pihak Sony telah mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 16 juta unit Playstation 4 di peringkat global pada tahun ini. Angka ini adalah lebih kecil berbanding jumlah unit yang terjual pada tahun 2017(19 juta unit) dan 2016(20 juta unit).

Namun, pemilik atau bakal pemilik konsol Playstation 4 ini masih boleh menarik nafas lega kerana pihak Sony dilaporkan akan terus memberi sokongan terhadap konsol ini sehingga sekurang-kurangnya tahun 2020. Untuk makluman anda, tiada sebarang pengumuman terkini berkenaan Playstation 5 telah dikeluarkan setakat hari ini.

Sumber