Sony, Nintendo Benarkan Pengguna Baiki Konsol Permainan Tanpa Membatalkan Warranti

Pada bulan April yang lalu, pihak Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan atau Federal Trade Commission(FTC) telah menasihatkan enam syarikat gergasi yang menjual peralatan teknologi di Amerika Syarikat termasuklah Sony dan Nintendo untuk mengkaji semula polisi berkenaan warranti mereka. Syarikat-syarikat ini diarahkan untuk tidak membatalkan warranti sekiranya pelanggan menghantar produk mereka untuk dibaikpulih.



Berdasarkan kepada kenyataan tersebut, Sony dan Nintendo telah mengeluarkan pengumuman rasmi tentang pembaharuan dalam polisi berkaitan warranti mereka melalui laman sesawang masing-masing. Pihak Sony membuat kenyataan bahawa mereka telah memperbaharui polisi warranti mereka untuk produk konsol permainan PlayStation 4, PlayStation VR, PlayStation 3, dan PlayStation Vita.

Mereka kini hanya akan membatalkan warranti untuk produk mereka sekiranya terdapat kerosakkan yang disebabkan oleh penggunaan peralatan pihak ketiga yang tidak berlesen sahaja, berbanding terbatal disebabkan penggunaan peralatan pihak ketiga yang tidak berlesen sebelum ini.

Bagi syarikat Nintendo pula, mereka turut menggunakan pendekatan yang hampir serupa dengan pihak Sony. Mereka tidak akan membatalkan warranti mereka sekiranya terdapat kerosakkan yang bukan disebabkan oleh penggunaan peralatan sokongan daripada pihak ketiga.

Maka dengan pengumuman ini, pengguna peranti keluaran kedua-dua syarikat ini tidak lagi perlu risau sekiranya konsol milik mereka mengalami kerosakkan ketika warranti mereka masih lagi aktif selepas ini.



Penggiat industri menjangkakan syarikat pengeluar Xbox, Microsoft akan turut mengemaskini polisi warranti mereka dalam masa terdekat. Akan tetapi, pembaharuan berkaitan kemaskini berkaitan polisi warranti ini hanya berkuatkuasa untuk peralatan yang dibeli di negara Amerika Syarikat dan Kanada sahaja.

Pemilik-pemilik konsol permainan ini di seluruh dunia pastinya mengharapkan pihak syarikat yang terlibat menggunapakai polisi yang sama di seluruh dunia.

Sumber