SONY Mungkin Keluarkan Peranti Playstation Mudah Alih Dengan Sambungan 5G

Sebut sahaja nama syarikat gergasi berasal dari Jepun, SONY pastinya bermacam jenis gajet atau peranti elektronik terlintas di fikiran kita. Daripada televisyen, kamera hinggalah ke produk mereka yang paling popular, PlayStation sering diberi kepercayaan oleh pengguna. Tambahan pula, sifat optimistik yang ada pada syarikat ini menyebabkan mereka kekal berusaha untuk bersaing dalam industri telekomunikasi atau telefon pintar walaupun jualan bagi jaringan produk tersebut bagi SONY kian berkurangan sejak kebelakangan ini.



Mereka percaya bahawa mereka sudah bersedia untuk ketibaan teknologi internet 5G dan ia merupakan salah satu sebab utama untuk mereka terus mengeluarkan peranti telefon pintar. Dan menurut laporan T3, teknologi ini akan menjadi pemangkin kepada penghasilan produk-produk lain yang turut boleh menggunakan teknologi 5G termasuk permainan mudah alih mereka yang dikenali sebagai Playstation Portable(PSP).

Ura-ura ini diperkuatkan lagi dengan populariti sistem 'PS Nowyang membenarkan penggunanya untuk bermain pelbagai koleksi permainan video yang boleh dimainkan menggunakan peranti Playstation yang terdahulu secara atas talian atau penstriman. Dengan sambungan 5G yang secara amnya jauh lebih pantas berbanding 4G yang sedia ada, sistem penstriman permainan video ini dijangka akan mendapat sambutan hangat.



Sebelum ini, SONY sudah pernah mengeluarkan peranti PSP selain PS Vita yang merupakan peranti permainan video mudah alih terbaru dari mereka yang dilancarkan pada tahun 2011. Bagaimanapun, PS Vita pada peringkat globalnya boleh dikatakan salah satu peranti SONY yang gagal walaupun jualan yang boleh dikatakan baik bagi pasaran Jepun.

PS Vita ini turut mempunyai ciri PlayStation 4 Remote Play yang membolehkan pemain bermain permainan PS4 menggunakan peranti PS Vita. Ini menyebabkan pemerhati berpendapat bahawa jika benar SONY akan mengeluarkan peranti permainan mudah alih terbaru mereka ini, ia mungkin akan menyokong fungsi Remote Play untuk peranti PlayStation 5 pula. Penggiat industri permainan sebelum ini menjangkakan PlayStation 5 akan dilancarkan selewat-lewatnya pada tahun 2020.



Peranti ini juga dikatakan akan menjadi pesaing kepada Nintendo Switch yang semakin popular dikalangan penggemar permainan video. Ia diramalkan akan menggunakan teknologi grafik dan pemprosesan yang berprestasi tinggi bagi membolehkan permainan popular SONY seperti God of War dan Detroit: Become Human yang mempunyai kualiti grafik yang tinggi dimainkan.

Walaubagaimanapun, berita berkenaan pembangunan peranti ini masih diperingkat ura-ura dikalangan pemerhati industri permainan video. Namun, dengan menilai cara SONY menjalankan perniagaan mereka sebelum ini, ternyata ura-ura ini mempunyai asas yang baik. Sama-sama kita tunggu maklum balas daripada SONY berkenaan perkara ini dalam masa terdekat.

Sumber