Sony Mempersembahkan Generasi ke-2 FES Watch

Sony telah memperkenalkan generasi ke-2 jam pintar FES Watch semasa acara CES 2017 yang berlangsung pada minggu ini. FES Watch sebenarnya dikeluarkan oleh Sony pada tahun 2014 dan model baru pada tahun lepas di bawah label Fashion Entertainment.

Model terbaru ini tidaklah sepintar seperti yang disangkakan. FES Watch lebih mengutamakan reka bentuk yang boleh diubah. FES Watch U ini boleh disambungkan ke peranti anda melalui sambungan Bluetooth. Yang menarik tentang jam pintar ini, pengguna dapat mengubah rekaan jam tangan tersebut dengan memilih beberapa jenis rekaan di dalam aplikasi khas yang boleh didapati di Android dan iOS.

sony_fes_watch_02_1484031694559

Berbeza dengan model tahun lepas, FES Watch ini menampilkan sokongan kalis air dan jangka hayat bateri jam ini boleh pergi sejauh 2 tahun. Model baru 2017 juga akan diberikan dengan nafas baru dengan penambahan pilihan rekaan luar e-paper yang lebih bervariasi. Sebelum ini model FES Watch hanya hadir dengan pilihan rekaan putih dan hitam sahaja.

Jam ini masih belum diletakkan harga sebenarnya. Jika dilihat model pada tahun lepas yang dijual pada pasaran agak terhad. Sony mula menjual jam ini di Amazon pada bulan Julai selepas beberapa bulan ianya dilancarkan.

Jadi pihak kami dapat merasakan, jam ini sememangnya 'Limited' tambahan pula di pasaran Malaysia. Pada ketika ini, jam pintar masih belum benar-benar mendapat perhatian daripada pengguna di Malaysia kerana ianya masih tidak praktikal dan rata-rata dijual dengan harga yang agak tinggi.

Sumber: CES 2017, SlashGear