Sony Memperkenalkan PlayStation Classic - Versi PsOne Yang Lebih Kecil

Sony sebentar tadi telah mengesahkan bahawa mereka bakal memperkenalkan kembali PlayStation One dan bakal dikenali sebagai PlayStation Classic.

Menariknya, konsol ini bersaiz 45% lebih kecil berbanding peranti asalnya. Selain itu, ia akan hadir dengan sokongan HDMI untuk tujuan sambungan televisyen. Dua alat kawalan dengan sambungan mikroUSB turut akan disediakan bersama kotak belian.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=60&v=nl2h8LDq_oI

Sony juga memberitahu bahawa konsol ini akan didatangkan dengan 20 permainan klasik yang tersedia di antaranya Final Fantasy VII, Jumping Flash, Ridge Racer Type 4, Tekken 3, dan Wild Arms. Senarai penuh permainan akan dikeluarkan kemudian di laman PlayStation.com.

Bagaimanapun, plug soket kuasa USB yang diperlukan untuk menggunakan konsol tidak disediakan bersama. Ini bermakna anda perlu mendapatkannya secara berasingan atau gunakan sahaja sebarang palam kuasa yang mempunyai sambungan USB. Soket pengecasan telefon pintar juga boleh digunakan.

PlayStation Classic ini akan mula dipasarkan pada 3 Disember ini dan harga pasaran yang dicadangkan ialah pada sekitar $99.99 (~RM 415). Jadi, untuk penggemar permainan video yang sudah "senior" di luar sana, jangan lupa untuk dapatkannya bagi mengimbas kenangan lampau anda.

 

Sumber