Sony IMX500 Dan IMX501 Merupakan Sensor Kamera Pertama Di Dunia Dengan Pemprosesan AI

Apabila berkata mengenai pengeluar sensor kamera, Sony merupakan salah satu nama yang terbesar. Kini, syarikat tersebut telah mengumumkan sensor terbaharu IMX500 dan IMX501 yang merupakan sensor pertama di dunia dengan pemprosesan kecerdasan buatan (AI).

https://youtu.be/20rXEtG4CjQ

Sensor IMX500 dan IMX501 ini merupakan konfigurasi berlapis. Ia mengandungi kedua-dua lapisan imej pixel untuk pengimejan dan juga litar logik untuk AI. Data yang diperoleh dari pixel akan diproses oleh AI yang seterusnya mempercepatkan kemampuan maklumat diproses. Ini adalah kerana ia tidak memerlukan bantuan pemprosesan atau memori dari pihak ketiga langsung.

Kapsyen: Konfigurasi berlapis sensor IMX500/IMX501


Apa yang membezakan kedua-dua model tersebut adalah IMX500 merupakan sensor semata-mata dalam keadaan fitrahnya manakala IMX501 pula telah dipakejkan secara lengkap. Penghasilan model berbeza ini adalah perlu kerana ia adalah untuk memenuhi setiap jenis permintaan pengeluar lain.

Kapsyen: IMX500 (kiri) dan IMX501 (kanan)


Dari segi spesifikasi, sensor ini menangkap imej bersaiz 12.3MP dan mempunyai saiz fizikal 1/2.3" dengan saiz pixel 1.55 micron. Sensor ini juga turut mempunyai penuras warna Bayer dan mampu merekod video 4K 30fps dengan pemprosesan AI. Jika tiada pemprosesan AI, maksimum kualiti video yang boleh direkod pula adalah 4K 60fps.

Antara perkara menarik mengenai sensor ini adalah, pengguna/pengeluar boleh mereka sendiri model AI ke dalam memori sensor dan mengemaskininya mengikut sistem yang diprogramkan.

Sensor ini walau bagaimanapun tidaklah ditujukan untuk kamera peranti pintar kerana Sony lebih memfokuskannya kepada industri seperti IoT, dan industri ke arah komputeran awan.

Kapsyen: Aplikasi kamera dengan AI


IMX500 dan IMX501 dijangka membuat pelancaran dalam produk bermula tahun hadapan. Sampel sensor IMX500 untuk tujuan percubaan dan ujian telah pun dijual pada harga JPY10,000 (~RM406) manakala untuk IMX501 pula ia akan dipasarkan bermula Jun nanti dengan harga JPY20,000 (~RM813).

Sumber: Sony