Sony Akan Rasmikan Peranti Xperia Barunya Di Acara IFA Hari Ini

Sony kini sah bakal memperkenalkan satu peranti Xperia di Berlin sempena dengan acara IFA 2018, hari ini(30 Ogos). Ia berdasarkan satu video acah pendek yang telah dikirimkan melalui akaun rasmi Twitter, @sonyxperia mereka baru-baru ini.

https://twitter.com/sonyxperia/status/1034365007897743360

Walaupun dilihat sedikit ketinggalan berbanding pencabar-pencabar mereka yang lain seperti Huawei, Samsung dan Apple, Sony masih lagi cuba untuk menghasilkan inovasi-inovasi baru pada telefon pintar keluaran mereka.

Mengambil kira bebarapa laporan sebelum ini, Sony dijangka bakal merasmikan model Xperia XZ3 pada acara berkenaan. Sekiranya benar, ia sekaligus menandakan Sony benar-benar serius untuk kembali bersaing dalam industri telefon pintar selepas ini.

Untuk rekod, Sony Xperia XZ2 telah diperkenalkan secara rasmi pada hujung Februari yang lalu, iaitu kira-kira 6 bulan lepas. Sony juga mungkin akan memperkenalkan model lain dibawah siri Xperia XZ3 seperti XZ3 Premium atau Compact.

Kredit : WinFuture


Sehubungan dengan perkara ini, imej rasmi Xperia XZ3 juga didakwa telah tertiris oleh WinFuture. Ia memaparkan peranti ini bakal menggunakan lensa tunggal, pengimbas cap jari serta rekaan skrin paparan tanpa takuk.

Beberapa spesifikasi lain model ini turut didedahkan oleh Geekbench seperti variasi warna Bordeaux Red(gambar) dan Forest Green selain warna hitam serta putih, penggunaan cip Snapdragon 845, memori 4GB serta bateri berkapasiti 3,300 mAh.

Bagaimanapun, segala maklumat berkenaan spesifikasi di atas adalah masih belum rasmi selagi Sony belum melancarkan peranti Xperia XZ3 ini. Mereka dijadualkan akan mengadakan majlis tersebut pada pukul 8 malam ini, waktu Malaysia.

 

Sumber