Sokongan Ke Atas Semua Versi Windows 10 1809 Akan Ditamatkan Pada 12 Mei 2020

Pengguna dinasihatkan supaya segera menaik taraf kepada versi Windows 10 1909.


Microsoft pada 12 Februari lalu telah mengingatkan para pengguna versi Windows 10 1809 bahawa versi sistem operasi Windows itu akan ditamatkan sokongannya pada 12 Mei 2020 ini.

Bermakna, pengguna versi Windows tersebut tidak lagi akan menerima sebarang kemas kini keselamatan selepas dari tarikh tersebut.

Berikut adalah versi Windows 10 1809 yang akan ditamatkan sokongannya oleh Microsoft pada 12 Mei 2020:-

  • Windows 10 Home, version 1809

  • Windows 10 Pro, version 1809

  • Windows 10 Pro for Education, version 1809

  • Windows 10 Pro for Workstations, version 1809

  • Windows 10 IoT Core, version 1809


Versi Windows 10 1809 mula ditawarkan secara rasmi kepada semua pengguna Windows 10 pada 2 Oktober 2018 lalu. Walaubagaimanapun, versi tersebut diingati sebagai antara versi paling teruk pernah ditawarkan Microsoft.

Ia berikutan pelbagai isu melibatkan pepijat yang ada pada versi Windows 10 tersebut. Antara isu yang dihadapi pengguna Windows 10 itu adalah seperti kehilangan data, isu memainkan media, isu paparan font dan blue screen of death.

Oleh itu, pengguna disyorkan supaya menaik taraf kepada versi Windows 10 1909.