Tanyakan 12 Perkara Ini Kepada Penyedia Perkhidmatan Sebelum Anda Melanggan Sebarang Perkhidmatan Telekomunikasi

Dalam Forum ‘Kesilapan Umum Pengguna Sebelum dan Selepas Melanggan Perkhidmatan’ anjuran Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), salah seorang dari ahli panel forum itu ada berkongsikan tentang 12 soalan yang patut ditanya oleh pengguna sebelum mereka melanggan sebarang perkhidmatan telekomunikasi.

Ia dikongsikan oleh salah seorang ahli panel forum tersebut iaitu En. Zolkiflee Md Salleh, Ketua Biro Aduan dan Pematuhan CFM.

Berikut adalah 12 soalan penting yang mesti ditanya pengguna kepada penyedia perkhidmatan sebelum melanggan perkhidmatan mereka:-

  1. Status liputan  -  Adakah penyedia perkhidmatan mempunyai liputan ditempat yang anda tinggal/bekerja?

  2. Kelebihan pakej - Berapa banyak data dan had panggilan yang ditawarkan di dalam langganan?

  3. Had langganan - Apa yang berlaku apabila penggunaan perkhidmatan mencapai tahap maksimum sehingga melebihi had langganan?

  4. Had kredit -  Berapakah had kredit, pelan yang dilanggan? Apakah yang akan berlaku jika had kredit dicapai? Adakah notifikasi akan diberikan oleh penyedia perkhidmatan?

  5. Tempoh kontrak - Berapakah tempoh minimum kontrak perkhidmatan yang ditawarkan?

  6. Penamatan kontrak sebelum tamat tempoh - Apa yang terjadi jika  menamatkan kontrak yang masih dalam tempoh langganan? Bila boleh ditamatkan kontrak sebelum tamat kontrak langganan tersebut?

  7. Apa berlaku selepas tamat kontrak - Berapakah jumlah bayaran bulanan selepas tamat kontrak jika dikenakan? Adakah kontrak akan disambung? Adakah pengguna akan dimaklumkan penyedia perkhidmatan sebelum kontrak disambung?

  8. Fleksibiliti kontrak - Adakah kontrak fleksibel? Boleh naik/turun taraf tanpa dikenakan caj?

  9. Peralatan yang digunakan - Peralatan apa yang disediakan (contoh: modem, router)? Adakah terdapat caj tambahan dikenakan atau diberikan percuma termasuk dalam langganan?

  10. Caj perayauan luar negara - Berapakah caj panggilan atau perayauan data semasa di luar negara? Adakah penyedia perkhidmatan di luar negara turut akan mengenakan caj perkhidmatan mereka?

  11. Caj bulanan - Berapakah komitmen caj bulanan yang perlu dibayar untuk langganan perkhidmatan?

  12. Proses pindah lokasi - Adakah terdapat caj tambahan jika ingin berpindah lokasi?


Selain daripada 12 soalan tersebut, beliau juga menasihatkan pengguna supaya memberikan perhatian terhadap perkataan-perkataan yang sering digunakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan bagi menarik perhatian pengguna seperti 'Percuma', 'Rebat' dan 'Tanpa Had'.

Sebagai contoh, pengguna perlu memahami adakah tawaran data tanpa had itu tidak mengganggu had kelajuan internet mereka.

Sumber CFM