Snapdragon 660 VS Snapdragon 710: Pertarungan Takhta Kelas Pertengahan

Apabila Xiaomi mengumumkan yang peranti Mi 8 SE mereka akan menjadi peranti pertama yang menggunakan cip Snapdragon 710 dari Qualcomm, ramai tertanya-tanya apakah kemampuan cip yang dijenamakan semula dari cip SD 670 ini terhadap pasaran peranti kelas pertengahan.

Sebelum ini, takhta cip kelas pertengahan telah dipegang oleh SD 660 yang menampilkan peranti seperti Nokia 7 Plus dan Vivo X21 yang mendapat pujian dari pemerhati industri telefon pintar.

Jadi mari kita lihat apa yang membezakan antara dua cip Qualcomm ini:

Teknologi Fabrikasi

Pertama sekali, cip SD 710 menggunakan teknologi fabrikasi LPP 10nm berbanding SD 660 yang menggunakan teknologi FinFET 14nm. Perbandingan saiz cip itu sendiri memberikan kelebihan kepada SD 710 dalam menghasilkan kuasa pengkomputeran yang tinggi berbanding SD660.

Kuasa Pemprosesan



SD 710 menampilkan 2 teras Kyro 360 dengan clock speed 2.20GHz + 6 teras Kyro 360 dengan clock speed 1.70GHz. SD 660 pula mempunyai 8 teras 260 dengan clock speed 2.20GHz. Qualcomm mendakwa peningkatan prestasi sebanyak 20% untuk cip SD 710 berbanding SD 660. SD 710 juga lebih efisien dari segi penggunaan bateri kerana menggunakan 4 teras dengan clock speed yang lebih rendah, secara langsung mengurangkan penggunaan bateri.

Prestasi A.I



Kedua-dua cip SD 710 dan SD 660 disertakan fungsi A.I. Malangnya, dua cip ini tidak dilengkapi ruang persendirian seperti cip kelas perdana seperti SD 845 yang dipanggil NPU (Neural Processing Unit). Untuk perbandingan prestasi, Qualcomm hanya menyebut SD 710 mampu memberikan prestasi 2X lebih bagus berbanding SD 660.

Sokongan Kamera



SD 710 mungkin memberikan nilai tambah yang menarik untuk bahagian kamera kerana ciri yang ditawarkan oleh cip ini boleh dikatakan setanding dengan apa yang ditawarkan oleh cip yang lebih mahal seperti SD 845.

Ini kerana SD 710 boleh menyokong paparan QHD+ sehingga resolusi 3,040 x 1,440 dan juga sensor sehingga 32 MP untuk lensa tunggal dan 20MP untuk dwi-lensa. Berbanding SD 660 yang menyokong paparan QHD (2560 x 1,600) dan sensor tunggal sebanyak 24MP dan 16MP untuk dwi-lensa.

Rumusan

Di atas kertas, SD 710 dilihat mendahului SD 660 untuk hampir kesemua bahagian kerana SD 710 lebih mirip kepada SD 845 dari segi Digital Signal Processing (DSP) dan Image Signal Processing (ISP). Setakat ini cuma peranti Xiaomi Mi 8 SE yang menggunakan cip pemprosesan SD 710 manakala cip pemprosesan SD 660 boleh didapati dalam peranti seperti Nokia 7 Plus.

Bagi kami yang sudah merasai pengalaman menggunakan Nokia 7 Plus, kami mendapati peranti ini boleh dikatakan agak baik dari segi kelancaran operasi dan juga prestasi kamera.

Walau bagaimanapun, kami masih menantikan peranti Xiaomi Mi 8 SE yang bakal menjengah ke pasaran Malaysia tidak lama lagi bagi merasai sendiri bagaimana cip pemprosesan SD 710 yang digelar sebagai raja cip kelas pertengahan yang baharu.