Smart Battery Case Untuk Siri iPhone 11 Boleh Dibeli Pada Harga RM539

Antara kekuatan dan faktor utama pembelian model iPhone 11 terkini adalah disebabkan kemampuan hayat bateri yang terbaik berbanding keluaran sebelumnya. Namun, untuk anda yang mahu memaksimumkan penggunaan peranti pintar tanpa mengecasnya semula, anda boleh membeli kerangka Smart Battery Case yang telah rasmi dilancarkan.

Selain berfungsi sebagai kerangka, ia juga mempunyai bateri terbina di dalamnya. Ia akan sentiasa mengecas peranti sehinggalah bateri di dalam kerangka itu habis dan selepas itu barulah bateri dalam peranti akan digunakan pula. Mengenai prestasi hayat bateri kerangka tersebut, Apple mengatakan pengguna akan mendapat tambahan sebanyak 50% hayat bateri.

Apa yang membezakan keluaran Smart Battery Case tahun ini dengan tahun sebelumnya adalah model kali ini mendapat sebuah butang khas untuk menangkap gambar sepertimana dalam sebuah kamera. Kerangka ini juga menyokong fungsi pengecasan tanpa wayar dan juga USB-PD melalui kabel Lightning.

Smart Battery Case ini boleh didapati dalam pilihan warna White, Black dan juga Pink Sand untuk model iPhone 11 Pro dan Pro Max manakala pilihan warna White dan Black sahaja untuk iPhone 11. Harga untuk kesemua pilihan warna dan model adalah sama iaitu RM539 sahaja.



Sumber: Apple Malaysia