Skrin Ceramic Shield Pada iPhone 12 Terbukti Lebih Tahan Lasak Berbanding Model iPhone Sebelumnya

Setiap tahun, Apple akan memperkenalkan iPhone baharu bersama slogan "skrin ini merupakan skrin iPhone paling tahan lasak yang pernah dihasilkan".

Perkara ini menjadi jenaka kerana seperti yang sedia maklum skrin iPhone adalah diperbuat daripada kaca dan bak kata Jerryrigeverything, "Glass is Glass. And glass breaks."

Tahun ini, Apple melakukan perkara yang sama namun dengan sedikit perbezaan. Mereka mula memperkenalkan teknologi dinamakan Ceramic Shield pada kesemua iPhone 12 mereka.

Apa itu Ceramic Shield? Ia merupakan perlindungan kaca dari kristal nano-seramik untuk meningkatkan lagi ketahanan skrin.

Menurut Apple, Ceramic Shield mampu bertahan dari hentakan ketika jatuh 4x ganda lebih handal berbanding iPhone 11.



Dengan kebanyakan pengguna yang sudah memiliki iPhone 12 di luar negara, mereka mula menguji telefon ini dan membandingkannya dengan telefon lain seperti iPhone 11.

Saluran YouTube seperti Phonebuff, TechRax, EverythingApplePro, MobileReviewEh, CNET masing-masing telah memuat naik video ketahanan skrin iPhone 12.

https://www.youtube.com/watch?v=OvEhN4VNyvI&ab_channel=TechRax

Hasil semuanya adalah sama sahaja. Skrin pada iPhone 12 didapati lebih tahan lasak berbanding telefon yang dibandingkan - terima kasih kepada Ceramic Shield.

Secara keseluruhan, mereka semua berpuas hati dengan prestasi ketahanan skrin pada iPhone 12 kali ini.

Namun begitu, kaca belakang pada iPhone 12 bukanlah Ceramic Shield seperti hadapannya jadi ia masih berada pada paras ketahanan sama seperti iPhone sebelum-sebelumnya.

Walaupun ujian ketahanan dan jatuhan yang dilakukan berbeza dengan situasi sebenar apabila telefon jatuh, namun perlu diingatkan hasil ujian yang sama kesemuanya membuktikan ia merupakan satu penambah baikan berbanding model-model iPhone sebelum ini.

Dengan skrin yang lebih tahan lasak, bukan sahaja anda kurang mengalami serangan 'sakit jantung' apabila skrin telefon pecah, bahkan membantu menjimatkan kos kerana tidak perlu membaikinya juga.

 

 

Berkaitan