SKMM: Tiada Lagi Peranti 3G Diperakui, Hanya Peranti 4G Dibenarkan Masuk Malaysia

Walaupun pahit tetapi ia harus ditelan, itulah yang akan berlaku sekarang dimana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan bahawa mereka tidak lagi memperakui peranti 3G.

Perkara ini seperti yang dinyatakan terdahulu oleh SIRIM dan ia telah dimaklumkan pula kepada Jabatan Kastam dan semua agensi yang berkaitan.

Ini bermakna, tidak akan ada lagi peranti 3G yang akan dibawa masuk ke Malaysia dan hanya peranti 4G sahaja yang diterima.

Kata SKMM, mereka berbuat demikian kerana ingin mengelakkan peranti dengan teknologi lapuk itu dilambakkan ke Malaysia. Malah, kesemua peranti lapuk ini perlu digantikan dengan 4G.

Tambahan lagi, mereka juga menyatakan bahawa aplikasi akan lebih berfungsi dengan baik dalam rangkaian 4G dan rangkaian ini merupakan asas bagi penggunaan teknologi 5G tidak lama lagi di Malaysia.

Dengan ini, kita akan lihat kesemua peranti di Malaysia akan menggunakan rangkaian 4G bermula tahun hadapan kerana terdahulu, kerajaan juga telah mengumumkan bahawa rangkaian 3G bakal ditamatkan sepenuhnya secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Sumber: berita harian