SKMM Telah Mengenal Pasti Jalur Spektrum Untuk Perintis Pelaksanaan 5G Di Malaysia

SKMM menerbitkan laporan akhir peruntukan jalur-jalur spektrum bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerbitkan laporan akhir peruntukan jalur-jalur spektrum bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih sebagai asas kritikal untuk peralihan ke arah 5G.

Ia adalah hasil siasatan awam peruntukan jalur spektrum yang telah dimulakan SKMM pada 1 Julai 2019 lalu berkaitan jalur spektrum 700, 2300 dan 2600MHz.

Dalam laporan tersebut, SKMM memaklumkan bahawa jalur spektrum 700MHz, 3.5GHz dan 26/28GHz telah dikenal pasti sebagai jalur spektrum perintis untuk pelaksanaan 5G di Malaysia.

Selain itu, SKMM juga memaklumkan bahawa mereka sedang mempertimbangkan pendekata jalur-jalur spektrum 700MHz dan 3.5GHz dibuat kepada satu konsortium yang terdiri daripada beberapa pemegang lesen, bukannya dipegang individu tertentu.

Peruntukan jalur-jalur spektrum 2300MHz dan 2600MHz sedia ada pula akan dikekalkan selari dengan persediaan untuk peralihan ke arah 5G.

Manakala frekuensi spektrum selebihnya pula akan dipertimbangkan pada peringkat seterusnya.

Pengkomersialan 5G dijangka akan dimulakan pada suku ketiga tahun selepas selesainya proses penguntukan jalur-jalur spektrum ini.

Spektrum adalah sebahagian besar daripada kumpulan spektrum elektromagnet yang melibatkan radio frekuensi yang juga dikenali sebagai gelombang radio.

Anda boleh dapatkan laporan penuh peruntukan jalur-jalur spektrum bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih di Malaysia di laman rasmi SKMM.

Berkaitan