SKMM Sedang Menjalankan Kaji Selidik Berkaitan Akses Dan Penggunaan Internet Di Malaysia

Juga kaji selidik terhadap kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan pos dan kurier di Malaysia.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 19 Jun baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menjalankan soal selidik bagi tujuan mengumpul data berkaitan akses dan penggunaan internet, pos dan kurier di Malaysia.

Kaji selidik ini adalah sebahagian daripada penyelidikan yang dijalankan oleh pihak SKMM juga sebagai salah satu bentuk tindakan bagi mendapatkan informasi yang lebih tepat bagi menambahbaik perkhidmatan industri komunikasi & multimedia serta pos & kurier di Malaysia.

Soal selidik ini akan memfokuskan pengguna kepada 3 bahagian utama iaitu:-

  1. Soal Selidik Permintaan Jalur Lebar (Pengguna Individu, Perniagaan dan Sektor awam)

  2. Kajian Kepuasan Pengguna - Pejabat Pos

  3. Kajian Kepuasan Pengguna - Kurier (Individu dan Perniagaan)


SKMM menjelaskan, proses soal selidik akan dibuat melalui telefon dari Pusat CATI MCMC di Cyberjaya bermula dari 20 Jun 2019 sehingga 30 September 2019.

Selain itu, kaedah soal selidik secara bersemuka atau menerusi dalam talian juga akan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kajian yang sudah pun bermula ini. Pungutan data pula akan bermula  daripada pukul 9:00 pagi hingga 6:00 petang setiap hari, kecuali hari-hari kelepasan am negara.

SKMM juga memaklumkan bahawa tujuan soal selidik ini adalah semata-mata hanya untuk pengumpulan data sahaja. Tiada sebarang aktiviti kutipan wang mahupun sebarang urusan jualan terlibat sepanjang soal selidik ini berjalan. Penyertaan pula adalah secara sukarela.

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau insiden penipuan yang menggunakan nama SKMM, pihak SKMM memberikan senarai nombor telefon yang akan digunakan sepanjang soal selidik ini berjalan.

Berikut adalah senarai nombor telefon yang akan digunakan oleh pihak SKMM bagi soal selidik tersebut:

03-86888234, 03-86888104, 03-86888155, 03-86888310, 03-86888396, 03-86888392, 03-86888381, 03-86888370, 03-86888399, 03-86888413, 03-86888414, 03-86888415, 03-86888455, 03-86888454, 03-86888447, 03-86888446, 03-86888465, 03-86888468, 03-86888469, 03-86888478, 03-86888593, 03-86888592, 03-86888543, 03-86888513, 03-86888514, 03-86888520, 03-86888521, 03-86888525, 03-86888576, 03-86888549, 03-86888547, 03-86888433, 03-86888312, 03-86888320, 03-86888324, 03-86888502, 03-86888362, 03-86888356, 03-86888344, 03-86888509, 03-86888417, 03-86888420, 03-86888431, 03-86888538, 03-86888445, 03-86888436, 03-86888512, 03-86888511, 03-86888479, 03-86888488, 03-86888530 dan 03-86888531.

Oleh itu, sekiranya anda menerima sebarang panggilan yang menyatakan mereka dari pihak SKMM bagi menjalankan soal selidik ini tetapi meminta wang bayaran dari anda, itu adalah panggilan palsu. Jika itu berlaku pada anda, sila laporkannya pada pihak SKMM dengan segera.

Tetapi sekiranya anda ada dihubungi dari pihak rasmi SKMM berdasarkan nombor yang diberikan, jadilah responden dengan memberikan maklum balas yang sopan. Tidak perlulah sehingga beremosi seperti mengeluarkan perkataan kesat kerana marah dengan masalah internet di tempat anda.

Bagi mendapatkan info lebih lanjut, sila hubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di talian telefon 03-8688 8000 (Jabatan Statistik).