SKMM: Secara Purata Harga Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Sudah Menurun 49%

Sehingga ke hari ini, kita sudah melihat pelbagai ujian dan projek rintis melibatkan jalur lebar berkelajuan tinggi dijalankan dalam negara. Ia selari dengan kehendak kerajaan,  dimana penawaran sambungan internet pantas ditawarkan dengan lebih meluas, disamping penawaran harga yang lebih berpatutan.

Menyentuh tentang harga, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam satu kenyataan menyatakan, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi telah menurun secara purata sebanyak 49%.

Menurut SKMM, ia merupakan hasil inisiatif kerajaan pada tahun lalu yang mahukan Kelajuan Berganda Pada Harga Separuh.

Penurunan harga serta capaian 3G dan 4G/LTE yang lebih meluas, dikatakan mendorong kepada peningkatan 2.66 juta langganan jalur lebar tetap pada 2018 berbanding 2.59 juta tahun sebelumnya.

Disebutkan juga, laporan Speedtest Global Index oleh Ookla pada Februari 2019 memperlihatkan purata kelajuan muat turun Malaysia dicatatkan pada kadar 64,51Mbps (22.26Mbps pada 2018) dan negara menduduki tangga ke-32 dunia (tangga 56 pada 2017).

Ini adalah perkembangan baik bagi pasaran jalur lebar tempatan dan pada masa hadapan, kita bakal menikmati perkhidmatan yang lebih dimana rangkaian 5G akan mula dikomersialkan menjelang 2021 atau 2022.

Sumber: SKMM